1MDB: Pendakwa panggil pegawai penyiasat kenal pasti rakaman audio

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, akan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, ia bagi mengenal pasti rakaman audio, yang didakwa sebagai perbualan antara bekas Perdana Menteri itu dengan kerabat diraja Arab.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam permohonan pendakwaan supaya suatu rakaman audio diterima masuk sebagai bukti dalam kes di mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, individu itu mungkin tidak akan akur untuk ke mahkamah kerana rakaman tersebut jelas menunjukkan pelanggaran kepada hak asasi anak guamnya.

Beliau berkata, rakaman itu melanggar hak asasi Najib mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 43 Akta SPRM 2009.

Sequerah: Pendakwaan tidak menyatakan bagaimana rakaman itu diperoleh.

Muhammad Shafee: Saya akan terkejut kalau pihak pendakwaan bersedia untuk mendedahkan sumber, bagaimana ia diperoleh dengan jelas.

Peguam itu turut menyatakan bahawa, bagi membolehkan rakaman berkenaan diterima masuk, rantaian audio, asal usul dan sejarahnya perlu dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Rakaman audio yang dipertikaikan itu dimainkan di mahkamah ketika bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberikan keterangan dan mengenal pasti suara berkenaan seakan milik Najib.

Dalam rakaman itu, suara memanggil seorang individu sebagai ‘Yang Teramat Mulia’ dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding bersambung Khamis.