Pengerusi PFP didakwa memperdagangkan manusia

Kar Giap (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu.
Kar Giap (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Ooi Kar Giap didakwa atas 10 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksplotasi kerja di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, pada Rabu.

Kar Giap, 55 yang juga pengarah syarikat didakwa bersama pengurus sumber manusia, Chye Lay Hoon, 52 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan 10 individu tempatan di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat dalam Daerah Seberang Perai Selatan.

Semua kesalahan itu dilakukan daripada 14 Februari hingga 27 Oktober lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Turut didakwa di mahkamah sama, dua pekerjanya Lim Yong Choon, 47, dan Woong Chew Hoe, 40, atas kesalahan bersubahat dengan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja di lokasi dan tarikh sama.

Setiap mereka juga didakwa dengan 10 pertuduhan dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 ATIPSOM yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Teh Yi Kai dan Pang Chuin Keat.

Noor Aini kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM362,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Selain itu, mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 4 Januari 2023 untuk sebutan semula kes.