Fahmi selar poster tajuk berita disunting bagi tujuan fitnah

Fahmi - Foto: Bernama
Fahmi - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada Ahad menyelar tindakan pihak tertentu yang menyunting poster tajuk berita sebuah media tempatan bagi tujuan memfitnah.

Beliau berkata, terdapat penambahan ayat pada akhir tajuk berita itu yang berbunyi ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik. Kami takpe - Fahmi’ sedangkan tajuk asal ialah ‘Jangan guna jentera kerajaan kempen untuk parti politik - Fahmi.’

"Fitnah semakin berleluasa. Yang palsu ini disebar di WhatsApp dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam Ahad dengan memuat naik tangkap layar poster tajuk berita yang betul dan palsu.

Fahmi turut memuat naik pautan berita media tempatan tersebut iaitu mengenai peringatan beliau kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan agar tidak sesekali menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen untuk parti politik pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Katanya, beliau memberikan peringatan itu ketika sesi libat urus bersama pegawai lapangan Jabatan Penerangan Kelantan malam Sabtu. - Bernama