Gempa bumi di barat laut Türkiye, mangsa cedera meningkat

Gempa bumi kuat melanda wilayah Duzce di barat laut Türkiye awal pagi Rabu. - Foto Google
Gempa bumi kuat melanda wilayah Duzce di barat laut Türkiye awal pagi Rabu. - Foto Google
A
A
A

ANKARA - [DIKEMAS KINI] Seramai 46 mangsa dilaporkan cedera akibat gempa bumi kuat melanda wilayah Duzce di barat laut Türkiye awal Rabu, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Türkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu melanda pada 4.08 pagi (0108GMT) waktu tempatan, yang berpusat di Daerah Golyaka.

Gempa berlaku pada kedalaman 6.81 kilometer (km)(4.2 batu) dari dasar laut.

Gegaran turut dirasai di Istanbul dan wilayah lain termasuk barat laut Bolu, Sakarya, Kocaeli, Bursa, Bilecik, dan wilayah Izmir dan Kutahya barat serta ibu kota Ankara.

Disebabkan gempa itu, sebanyak 18 gegaran susulan direkodkan.

Pemotongan bekalan kuasa sedang dilakukan di rantau itu sebagai langkah berjaga-jaga, menurut AFAD.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca menerusi ciapan di Twitter memaklumkan seorang mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Pasukan Penyelamat Perubatan Kebangsaan dan ambulans telah dihantar ke wilayah berkenaan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Gabenor Duzce, Cevdet Atay mengumumkan bahawa sekolah-sekolah ditutup pada Rabu akibat gempa bumi itu.

Pada 1999, wilayah Duzce dilanda gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang berlangsung selama 30 saat, mengorbankan 710 orang dan mencederakan 2,679 yang lain. - Bernama