Festival Tukang serlah bakat pereka, artis inovatif

Festival Tukang menyerlahkan pereka dan artis inovatif melalui anugerah geran awam berjumlah RM10,000 yang diberikan kepada enam pemenang. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Festival Tukang menyerlahkan pereka dan artis inovatif melalui anugerah geran awam berjumlah RM10,000 yang diberikan kepada enam pemenang. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Festival Reka Bentuk dan Kraf (Tukang) anjuran Tourism Selangor berlangsung selama enam hari sehingga Ahad dengan menawarkan pelbagai aktiviti dan program pendidikan menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Tuan Azrul Shah Mohamad berkata, festival reka bentuk dan kraf itu julung kali diadakan dengan kerjasama Rantai Art di Galeri Shah Alam di sini.

Menurutnya, program meliputi pameran inovatif, bengkel seni, ceramah reka bentuk, bazar seni pop up dan kraf serta persembahan kumpulan seni tempatan dan muzik indie serta pameran ‘pitching’ pelancongan Selangor.

Tuan Azrul Shah
Tuan Azrul Shah

“Festival ini menyerlahkan pereka dan artis inovatif melalui anugerah geran awam berjumlah RM10,000 yang diberikan kepada enam pemenang reka bentuk dengan tempoh tiga bulan untuk mereka menyiapkan projek mereka.

"Saya dimaklumkan sebelum ini terdapat 37 penyertaan di mana 11 penyertaan telah disenarai pendek sebelum enam pemenang ini diumumkan," katanya pada Majlis Pelancaran Festival Tukang di Galeri Shah Alam di sini.

Hadir sama, Duta Pelancongan Negeri Selangor, Che Puan Juliana Evans.

Artikel Berkaitan:

Che Puan Juliana
Che Puan Juliana

Antara projek kraftangan yang dibentangkan pada Festival Tukang ialah A Piece of Kampung oleh Leon Leong dan Hani Ali, Tepak Ulam oleh Warenakita, Re: Vision oleh Gwyneth Jong dan Maisarah Lubis, ‘Mok’ Pod oleh Gharib Batiktektura, Sustainable Innovation Batik Alternative Tool oleh Ecovs dan T.I.K.A.R. oleh Inside RG.

Tuan Azrul Shah menambah, pihaknya sentiasa inovatif dalam mempromosikan tarikan pelancong yang berpotensi bagi merealisasikan misi Selangor sebagai hab industri kreatif.

“Ini selaras kempen pelancongan domestik Selangor, Pusing Selangor Dulu! Idea inovatif bakat kreatif ini boleh digunakan dalam pembangunan produk terdiri daripada industri fesyen, perabot dan makanan," katanya.

Dalam pada itu, Che Puan Juliana berkata, Selangor adalah pusat bagi bakat-bakat kreatif yang telah mencipta nama di dalam dan luar negara dan kreativiti mereka boleh dilihat di Festival Tukang di Galeri Shah Alam.

Tuan Azrul (tiga dari kiri) dan Cik Puan Juliana (empat dari kanan) melawat ruang pameran di Festival Tukang di Galeri Shah Alam. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tuan Azrul (tiga dari kiri) dan Cik Puan Juliana (empat dari kanan) melawat ruang pameran di Festival Tukang di Galeri Shah Alam. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai dapat hadir bagi menghargai artis tempatan yang bertungkus lumus untuk menghasilkan bukan sahaja idea tetapi menghasilkan sesuatu yang unik dengan ciri tradisional.

"Pereka ini sangat kreatif kerana kebanyakan hasil tangan mereka tidak pernah dilihat dan terfikir untuk dihasilkan di mana-mana dan sangat elok untuk dilihat malah usaha mereka juga dapat membuka mata kita," katanya.

Tambah Cik Puan Juliana, festival reka bentuk dan kraf itu juga dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda untuk meneruskan kreativiti mereka dengan menggunakan sumber alam semula jadi tanpa batas.