Kenal pasti anak tiada dokumen

Maszlee dan Presiden Jeiwa, Fadilah Nizar (dua, kiri) bersama anak-anak yang menerima sumbangan pada Program Edulife di sini, hari ini.
Maszlee dan Presiden Jeiwa, Fadilah Nizar (dua, kiri) bersama anak-anak yang menerima sumbangan pada Program Edulife di sini, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Pendidikan menyeru badan-badan bukan kerajaan (NGO) membantu mengenal pasti kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen di kawasan masing-masing.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ini bagi membantu mereka yang tercicir mendapatkan pendidikan.

Menurutnya, pihaknya dapati ada dalam kalangan warganegara yang tidak ada dokumen dan akhirnya tidak dapat ke sekolah sama ada mereka tidak sah taraf, ibu bapa bernikah di luar negara dan beberapa isu lain.

"Malah NGO Jiewa (Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor) dapati ramai anak-anak warganegara yang tidak didaftarkan dan tidak mempunyai dokumen ini.

"Jadi saya menyeru kepada semua NGO supaya dapat bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendaftarkan anak-anak ini supaya mereka dapat bersekolah," katanya pada sidang media selepas merasmikan program 'Edulife' Jeiwa dan Rakan Strategik UiTM Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya lagi, sekolah merupakan tempat paling selamat dan bagi memastikan semua anak-anak dapat akses kepada pendidikan.

"Isu ini bukan sahaja berlaku di Pasir Gudang malah di Parlimen saya, Simpang Renggam pun menghadapi masalah ini. Di sana Parlimen bekerjasama dengan JKM, JPN dan PPD daftarkan anak-anak ini.

"JPN, JKM, PPD kena bantu masyarakat, tak rugi kalau kita bantu orang lain. Buat kerja lebih sedikitlah. Kalau tak ada dokumen, daftarkan malah kadang-kadang ada kes anak-anak ini tiada penjaga, kesnya tak diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maszlee menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam Program Edulife di sini, hari ini.
Maszlee menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam Program Edulife di sini, hari ini.

Tegasnya, usaha ini penting bagi memastikan setiap anak berpeluang mendapat pendidikan kerana pendidikan merupakan jalan keluar daripada kemiskinan dan masalah sosial.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau mengingatkan pelajar-pelajar bahawa belajar hari ini bukan sekadar untuk mendapatkan sijil.

"Tapi juga belajar menjadi manusia berguna, manusia yang manusiawi, ada hati untuk bantu orang lain. Contohi sukarelawan-sukarelawan yang bekerja tanpa bayaran.

"Ada orang boleh memiliki segalanya di dunia ini tapi tak ada kebahagiaan kerana ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Paling bernilai ialah membahagiakan orang lain," katanya.

Program 'Edulife' yang bertemakan bersama membawa cahaya pendidikan merupakan seruan dan menggalakkan penglibatan bersama semua pihak bagi mencipta peluang pendidikan kepada setiap kanak-kanak.

Seramai 100 sukarelawan terlibat dalam program kali ini terdiri daripada golongan profesional dan pelajar dari UiTM, Yayasan Pelajaran Johor dan Asia Metropolitan University.

JEIWA berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM34,790 untuk digunakan sebagai bantuan tambahan dan pembelian barangan keperluan sekolah serta pembukaan akaun SSPN.