Hapus kontrak runding terus, punca rasuah mega

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Jamaludin)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Jamaludin)
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep rundingan terus disifatkan sangat bahaya apabila dilihat berpotensi besar menjurus kepada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa terutama melibatkan projek mega negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN), Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, situasi tersebut menjadi lebih parah apabila kontrak runding terus berskala besar diarahkan oleh individu berpengaruh dan berkuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin dan NGO Pelbagai Penganut Agama berkata, sebelum pertengahan 80-an, kontrak runding terus tidak dibenarkan kecuali untuk keadaan tertentu sahaja seperti pembelian kecemasan atau hanya satu pembekal.

Menurutnya, setiap kontrak perlu melalui tender terbuka yang telus, malah pengecualian mungkin sekitar lima peratus dari jumlah perolehan.

Katanya, proses perolehan negara dikawal oleh Pekeliling Perbendaharaan dan Pekeliling Am, namun pada tahun 80-an penyalahgunaan kontrak runding terus menjadi amalan biasa hasil pemusatan kuasa di tangan orang politik.

Jelasnya lagi, arahan runding terus bagi kontrak-kontrak kerajaan bagaikan cendawan selepas hujan dengan pelbagai alasan tidak munasabah yang digunakan.

"Transparency International menganggarkan berlaku sekitar empat hingga enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ketirisan dalam perolehan negara itu bersamaan dengan RM60 bilion yang sebahagian besarnya disebabkan proses runding terus.

"Perkara ini menyebabkan harga perolehan menjadi terlalu tinggi, namun kualiti yang dihasilkan sering kali dipersoalkan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan hilangnya RM60 bilion setiap tahun kepada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, ketirisan mengakibatkan pembangunan yang tidak lestari, rakyat tidak mendapat perkhidmatan terbaik, pengagihan kekayaan yang tidak seimbang serta ketirisan khazanah negara yang ketara," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Jamaludin mendakwa, amalan seumpama itu sudah berakar umbi di negara sehingga kini tanpa ada usaha berterusan untuk menanganinya. "Ia sekali gus merebak seumpama kanser dan kemudiannya merebak hingga ke sistem perolehan negara termasuk sektor penjawat awam dan swasta.

"Disebabkan itu berlakunya skandal penghasilan kapal tempur pesisir (LCS) dan pembelian meriam Howitzer untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Menurutnya, pembelian meriam Howitzer berjumlah RM850 juta telah diarahkan oleh pemimpin politik tertinggi secara runding terus, selain syarikat yang dilantik tidak menepati ciri-ciri ditetapkan.

Jelasnya, syarikat dilantik untuk urusan pembelian meriam itu merupakan sebuah syarikat yang baru berusia dua tahun dan masih belum pernah membuat sebarang pembekalan kepada ATM sebelum ini.

Dakwanya, dengan menulis enam perkataan sahaja di atas surat cadangan iaitu 'Saya setuju dirunding terus. Uruskan segera', maka rakyat dan negara kerugian berpuluh atau mungkin beratus juta hasil pembelian satu kontrak ini sahaja.

"Bayangkan jumlah ketirisan dan kerugian setiap tahun melibatkan kontrak kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernilai ratusan bilion.

"Tidak mungkin perolehan runding terus boleh menghasilkan harga yang lebih murah atau mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding hasil daripada perolehan tender terbuka.

"Lihat sahajalah berbagai kes rasuah yang dibuat tanpa keputusan jawatan kuasa tender yang telus dan satu daripada contoh yang ketara ialah perolehan aset tentera negara apabila pembayaran RM6 bilion dibuat, tetapi tidak ada satu kapal pun dalam kes LCS," katanya.

Malah tambahnya, harga melibatkan projek PCS itu dijangka naik kepada RM11 bilion dan harga asal yang dirunding terus itu bakal mengundang kontroversi kerana terlalu mahal berbanding harga kapal yang sama diperoleh tentera laut New Zealand.

Katanya, situasi sama berlaku melibatkan skandal pembelian kapal selam, helikopter dan jet pejuang Sukhoi apabila laporan Defence Security Asia menerusi satu pendedahan menyatakan kira-kira 61 peratus daripada aset yang dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikategorikan sebagai 'usang'.

"Bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku sehingga aset yang telah 'tamat tempoh' terpaksa kembali menjalankan tugas secara aktif.

"Menghapuskan kontrak runding terus adalah satu-satunya tindakan impak tinggi yang dapat menurunkan kadar rasuah dengan mendadak.

"Negara dijangka dapat menyelamatkan berbilion ringgit daripada isu ketirisan dan rasuah yang berlaku, seterusnya boleh digunakan untuk membantu sosio ekonomi rakyat dan meningkatkan perkhidmatan sektor kerajaan," katanya.