[VIDEO] PRU15: BN perlu terima hakikat ditolak pengundi

Md Alwi ketika sidang akhbar di Kota Bharu pada Selasa.
Md Alwi ketika sidang akhbar di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikat pengundi sudah menolak parti itu dan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi BN, Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad berkata, penubuhan kerajaan kini ialah tugas parti yang memenangi pilihan raya.

Bagaimanapun menurutnya, keputusan BN untuk kekal sebagai pembangkang dengan tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan membuktikan parti itu ada maruah dan integriti.

"Alhamdulillah saya diberitahu kita mengambil keputusan untuk berkecuali dan itulah yang terbaik," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pola pengundian seluruh negara memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Kenapa kita menawarkan diri kepada dua parti itu sedangkan mereka sudah menyerang BN dengan pelbagai naratif negatif.

"Pada saya, mereka menang, mereka perlu menubuhkan kerajaan... macam mana nak tubuh, itu terserah kepada mereka. Tidak perlu merebut jawatan itu," katanya.

Md Alwi turut menyatakan kesedihannya apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung lewat dua hari selepas PRU15 yang menyaksikan kekalahan BN.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Md Alwi berkata, beliau sudah mencadangkan kepada pimpinan tertinggi supaya tidak masuk campur dalam pimpinan kerajaan baharu.

"Saya juga tidak mahu merosakkan kedudukan parti dan kemelut yang sudah berlaku dan kita terima kekalahan ini," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan BN membuat keputusan untuk kekal sebagai pembangkang dengan tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.

Perkara itu diumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hasil kesepakatan Dewan Tertinggi BN.