Pasca PRU15: Enam kertas siasatan dibuka

Hazani
Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka enam kertas siasatan di lima negeri atas pelbagai kesalahan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Isnin.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, jumlah itu membabitkan dua kertas siasatan di Kelantan, masing-masing satu di Perak, Melaka, Johor dan Sabah.

"Daripada jumlah itu, sebanyak dua kertas yang menyentuh isu perkauman telah dibuka di Melaka dan Johor," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kertas siasatan terbabit dibuka mengikut Seksyen 298, 505 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, beberapa kesalahan disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954," jelas beliau.

Dalam pada itu, Hazani yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berkata, sebanyak 3,483 laporan diterima pihaknya bagi tempoh 4 November lalu hingga Isnin.

"Daripada jumlah itu, 515 kertas siasatan dibuka dan 180 kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, tujuh lagi kertas siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dengan enam kes sudah dituduh di mahkamah manakala empat lagi kes sudah dijatuhkan hukuman sepanjang tempoh berkenaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: