Najib mahu tutup 1MDB: Saksi

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kumpulan Media The Edge memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan hasrat untuk menutup syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan beban hutang yang serius.

Saksi pendakwaan ke-43, Tan Sri Tong Kooi Ong berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Kooi Ong, 65, berkata, Najib menyatakan perkara berkenaan dalam satu pertemuan di kediaman bekas Ahli Parlimen Pekan itu, di Langgak Duta pada 6 Mac 2015.

Menjawab soalan daripada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Kooi Ong berkata, seseorang mesti bertanggungjawab atas perkara tersebut dan individu itu ialah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Di dalam nota taklimat, saya menunjukkan dengan jelas bahawa wang AS$700 juta dilencongkan kepada Syarikat Good Star Ltd milik Jho Low,” katanya.

Muhammad Shafee: Ini bukan kali pertama kamu ke Langgak Duta.

Kooi Ong: Ya.

Muhammad Shafee: Tiap kali kamu nak balik, Najib akan hantar hingga pintu?

Artikel Berkaitan:

Kooi Ong: Saya cuba nak ingat perkara itu, sebab biasanya ada orang lain yang turut berada dalam rumah berkenaan.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan, mungkin kamu tersilap tafsir dengan tindakan Najib, hantar kamu hingga ke pintu.

Kooi Ong: Saya terkejut sebab Najib hanya berdiri, berjalan ke pintu dan membukanya, hanya selepas saya mengatakan isu yang berlaku dalam 1MDB.

Muhammad Shafee: Adakah Najib arah kamu untuk keluar (dari rumah)?

Kooi Ong: Tidak.

Peguam itu kemudiannya mencadangkan bahawa, Najib selaku Perdana Menteri, telah memberi kuasa kepada Jabatan Audit Negara untuk menyiasat 1MDB.

“Arahan supaya 1MDB disiasat bukan perkara baharu kerana Najib telah mengeluarkan perintah itu sebelum ini,” kata Muhammad Shafee.

Mendengar perkara itu, Kooi Ong berkata, tidak mengetahui bahawa Najib telah mengeluarkan arahan berkenaan.

Pada 16 November lalu, saksi tersebut berkata, Najib memintanya untuk beredar daripada kediamannya selepas mencadangkan Jho Low perlu didakwa kerana mencuri AS$700 juta milik 1MDB.

Beliau turut berkata, daripada AS$1 bilion yang disuntik bagi perjanjian usaha sama antara 1MDB PSI, AS$700 dilencongkan ke Good Star.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.