PRU15 bukan peluang sebenar Pejuang

Dr Erwan
Dr Erwan
A
A
A

SHAH ALAM - Kelibat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di dalam dunia politik negara tidak dilihat sebagai pengacau sebaliknya sebagai pilihan kepada pengundi yang mahukan kebebasan bersuara.

Presiden Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, meskipun gagal menempatkan diri sebagai pencabar utama dalam persaingan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pejuang merupakan parti yang membawa nilai bersih dan integriti bagi sebuah parti politik tanah air.

Beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) berkata, penubuhan dan penyertaan parti Pejuang sebenarnya bukan bertujuan untuk menjadi suatu gelombang ketiga dalam PRU15.

Sebaliknya jelas beliau, Pejuang adalah satu 'distraction' atau langkah mengalihkan tumpuan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam landskap terbaharu politik Malaysia.

"Mungkin Dr Mahathir mahu meninggalkan legasi dalam menggalakkan sesiapa sahaja atau mana-mana parti pun turut serta dalam demokrasi di Malaysia.

"Walaupun Pejuang tidak menang satu kerusi pun dalam PRU15 ini, tetapi kita dapat lihat pilihan raya kali ini mempunyai penyertaan yang lebih meriah oleh parti-parti kecil yang lainnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut beliau, ketika mana di PRU14 yang lalu, rakyat Malaysia cuma ada pilihan dua parti besar iaitu Pakatan Harapan (PH), BN dan beberapa parti kecil lain, tetapi pilihan raya kali ini menyaksikan penambahan sekurang-kurangnya empat parti kecil seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pejuang.

Jelasnya, penyertaan tiga parti besar dan beberapa parti kecil yang sukar untuk menang di dalam PRU15 mungkin perkara baharu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tetapi katanya, di negara-negara lain seperti Indonesia dan Turkiye, banyak parti parti kecil yang dahulunya tidak pernah menang, kini mempunyai sejumlah kerusi di dewan perwakilan rakyat di negara tersebut.

"Saya lebih melihat penyertaan parti Pejuang dari sudut positif. Semua perkara ada permulaannya.

"Dahulu pun PAS pernah ada cuma satu kerusi di Parlimen, tetapi kini mereka merupakan pemegang jumlah kerusi terbesar di Parlimen.

"Terpulang kepada ahli-ahli Pejuang sama ada ingin meneruskan usaha parti mereka di masa akan datang atau menjadi parti bersifat sementara seperti Semangat 46," katanya.