Ahli Parlimen BN akan hantar SD kepada Azhar

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika sidang media tergempar selepas mengadakan pertemuan bersama Pakatan Harapan di sebuah hotel, pada Isnin. - Foto Bernama
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika sidang media tergempar selepas mengadakan pertemuan bersama Pakatan Harapan di sebuah hotel, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen BN akan menghantar akuan bersumpah (SD) berkaitan sokongan pembentukan kerajaan baharu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada jam 2 petang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berharap Azhar dapat melanjutkan jangka masa waktu berkenaan.

“Untuk kami mengemukakan SD setelah keputusan berdasarkan rundingan yang akan kami lakukan dengan mana-mana pihak berkenaan,” katanya pada sidang akhbar bersama ahli Parlimen BN di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Azhar pada Ahad dilapor telah mengutus surat kepada ketua dan setiausaha agung parti yang memenangi jumlah kerusi besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk pembentukan kerajaan baharu.

Kata Azhar, surat itu meminta parti terbabit mengemukakan nama parti-parti dan ahli-ahli Parlimen Bebas (sekiranya ada) yang bersetuju untuk menganggotai gabungan itu.

Ahmad Zahid menambah, seramai 26 ahli Parlimen BN yang hadir pada Isnin manakala dua lagi tidak hadir kerana demam iaitu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.

Dalam pada itu, Presiden UMNO berkenaan menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen BN akan mengikut ketetapan dewan tertinggi yang membuat keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan parti politik untuk membentuk kerajaan baharu.

Katanya, ia berdasarkan kepada jawatankuasa perundingan telah dibentuk bagi mengadakan rundingan dengan pihak yang akan membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Di dalam hal ini mana-mana kenyataan dikeluarkan bahawa BN telah menyertai mana-mana gabungan yang ada adalah tidak benar.

“Ini kerana tidak ada perbincangan terutamanya dengan pihak Perikatan Nasional (PN) yang kononnya kami telah bersama-sama dengan mereka,” katanya.

Jelasnya, segala keputusan hanya akan dibuat setelah jawatankuasa perundingn bertemu dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk kerajaan.

Selain itu, ia juga setelah Dewan Tertinggi BN memutuskan secara rasmi selepas mendengar semua maklum balas rundingan yang dibuat.

“Di mana setakat ini tidak ada perundingan secara rasmi yang telah dibuat oleh mana-mana pihak.

“Jika mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang memasukkan BN adalah bersama-sama dengan mereka tidak benar,” katanya