18 ahli Parlimen BN didakwa sokong Muhyiddin: Sanusi

Muhammad Sanusi - Foto Bernama
Muhammad Sanusi - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa sekurang-kurangnya 18 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah memberitahu, beberapa ahli Parlimen terbabit turut menyatakan kesediaan mereka untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Muhammad Sanusi berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN terbabit dipercayai akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara dalam satu majlis kira-kira pukul 4 petang ini.

"Difahamkan, sudah ada 18 orang (ahli Parlimen BN) menyatakan sokongan, sekali gus PN akan membentuk kerajaan.

"Saya harap semua pakat berdoa semoga senarai nama yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 2 petang, dapat diserahkan. Insya-ALLAH, Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri akan berlaku jam 4 petang," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, malam Ahad.

Beliau menjelaskan, senarai nama individu itu akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum jam 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada jam 4 petang.

“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, Pas telah mengajak UMNO untuk mengadakan kerjasama sebelum ini di bawah satu gagasan, namun parti itu berdegil dan tetap dengan pendirian mereka untuk menolak kerjasama.

"Kita ajak tak? Dia mahu tak (tetapi) dia tidak mahu kan. Bukan kita tidak mahu. Jadi, ini adalah kesalahan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), kesalahan pemimpin sekarang namun yang menanggung malu ahli-ahli UMNO di bawah,"katanya.