Bidoglio gembira pemain JDT bebas kecederaan

Bidoglio
Bidoglio
A
A
A

PENGENDALI JDT, Hector Bidoglio gembira apabila kesemua pemain skuad Harimau Selatan itu dilaporkan bebas daripada sebarang penggantungan serta kecederaan serius menjelang aksi final TM Piala Malaysia 2022, Sabtu ini.

Malah menurutnya, dia kini mempunyai lebih pilihan bagi menurunkan kesebelasan terbaik pada aksi final berkenaan nanti.

“Untuk final nanti, semua pemain kita boleh beraksi. Leandro (Velasquez), Feroz (Feroz Baharuddin) dan malah Jordi Amat berkemungkinan berada dalam kesebelasan utama.

“Setakat ini, kita masih menilai prestasi pemain sebelum memuktamadkan keputusan berhubung pemain yang sesuai diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Apa pun, dijangkakan keputusan akhir bagi kesebelasan utama pasukan akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

JDT mara ke final TM Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Sabah FC 3-1 (agregat 4-1), di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Ahad.

Mengulas mengenai persediaan JDT menjelang aksi final berkenaan Bidoglio berkata, kesemua pemain dilihat berusaha bersungguh-sungguh dalam sesi latihan pasukan.

Katanya, senario berkenaan dilihat sebagai satu petanda baik buat skuad Harimau Selatan menjelang aksi final berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhannya, saya gembira dengan perkara seperti ini, tetapi dalam masa sama saya mengingatkan pemain bahawa kali ini mereka akan beraksi di final dan ia merupakan aksi yang berbeza dan jauh lebih sukar.

“Oleh itu, mereka perlu bersedia selain perlu kembali cergas sepenuhnya menjelang aksi final nanti,” katanya.