Solari puas hati aksi pemain JDT

Kesebelasan utama JDT pada aksi berdepan Selangor FC, pada Sabtu. - FOTO FB Flash Sukan.
Kesebelasan utama JDT pada aksi berdepan Selangor FC, pada Sabtu. - FOTO FB Flash Sukan.
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan aksi dipersembahkan kesebelasan pemain, biarpun sekadar melakar kemenangan 2-0 ketika berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada Sabtu.

Menurut Solari, kemenangan tersebut juga bukan mudah untuk direalisasikan setelah menerima tentangan sengit daripada kesebelasan skuad Red Giant itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, perlawanan ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar buat kami.

“Kami telah melakukan persiapan untuk beraksi di final (Piala FA) minggu lalu dan kali ini kita kembali bermain di peringkat liga dan adakalanya agak sukar untuk mempersiapkan semula pasukan.

“Apa pun secara keseluruhannya, kami gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh semua pemain pasukan ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan pada Sabtu.

Pada aksi Liga Super itu, JDT menang 2-0 hasil jaringan pemain import baharu, Heberty Fernandes pada minit ke-79 dan Bergon Da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus gah di puncak Liga Super dengan 54 mata hasil 18 kemenangan berturut-turut setakat ini berbanding skuad Merah Kuning itu yang meraih 40 mata hasil 13 kemenangan, seri sekali dan tewas lima kali daripada 19 perlawanan.

Tambah Solari, pihaknya berbangga kerana berjaya menewaskan Selangor FC buat kali ketiga musim ini.

Katanya, tambah membanggakan, kesemua kemenangan berkenaan terhasil tanpa membenarkan skuad Red Giant itu membolosi gawang skuad Harimau Selatan itu.

“Untuk kali ketiga, kita berjaya tewaskan Selangor FC yang juga merupakan salah satu pasukan terbaik dalam Liga Super.

“Namun, untuk menewaskan Selangor tiga kali tanpa bolos dalam semusim bukannya sesuatu yang mudah, tetapi ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan daripada semua pemain kami,” katanya.

Sementara itu Solari berkata, pihaknya turut berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain import baharu, Heberty Fernandes pada perlawanan berkenaan.

Katanya, biarpun masuk selaku pemain gantian, namun Heberty dilihat cepat menyesuaikan diri hingga berjaya menjaringkan gol sulung perlawanan.

“Heberty masih baru dengan pasukan... apa pun, kita memang perlukan pemain sepertinya untuk membantu kami.

“Dia menjaringkan gol pada perlawanan dengan Selangor FC dan ini membuatkan saya rasa gembira dengan kesungguhan yang dipamerkannya,” katanya.