Kerajaan baharu diketahui hari ini?

Kerajaan baharu dijangka diketahui pada Isnin.
Kerajaan baharu dijangka diketahui pada Isnin.
A
A
A

SELEPAS lebih 24 jam Parlimen tergantung kerana tiada gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), adakah kerajaan baharu akan diketahui hari ini?

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad menitahkan parti politik membuat perakuan gabungan politik untuk menubuhkan kerajaan baharu sebelum jam 2 petang esok.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan agar gabungan parti politik yang dipersetujui mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Rentetan itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan persetujuan untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan campuran bersama Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg petang Ahad.

Ia susulan pertemuan yang diadakan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sebelah pagi.

Ekoran perjumpaan berkenaan, Muhyiddin mendakwa memiliki bilangan sokongan mencukupi untuk membolehkan dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, keyakinan tersebut bersandarkan kesediaan ahli Parlimen daripada Gabungan GPS, GRS dan beberapa ahli Dewan Rakyat lain untuk membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan gabungan itu ada berbincang dengan GPS bagi menubuhkan kerajaan campuran bersama PN.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, tiada apa-apa rundingan yang dibuat antara gabungan itu dengan PN buat masa ini.

Di tengah-tengah spekulasi itu, turut dilaporkan seramai 20 ahli Parlimen BN yang menang dalam PRU15 didakwa menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk beliau menerajui negara.

Menurut sumber dalaman BN, 20 daripada 30 ahli Parlimen berkenaan bersedia menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilantik sebagai Perdana Menteri sekali gus membentuk kerajaan baharu.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga yakin beliau akan berpeluang menerajui Malaysia kerana mempunyai bilangan kerusi yang cukup.

Namun, Ahli Parlimen Tambun itu masih merahsiakan gabungan parti politik yang akan dibentuk nanti.

Berdasarkan sumber dalaman, difahamkan Anwar bakal mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di sebuah hotel di Kuala Lumpur pagi ini.

Jadi persoalan jajaran baharu parti yang akan membentuk kerajaan dan siapa yang akan dipilih sebagai Perdana Menteri sama ada Muhyiddin atau Anwar mungkin diketahui hari ini.