Ketua kerajaan peralihan Sudan letak jawatan

Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf meletak jawatan sehari selepas dilantik sebagai ketua kerajaan peralihan di Sudan. - Foto AFP
Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf meletak jawatan sehari selepas dilantik sebagai ketua kerajaan peralihan di Sudan. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - SUDAN. Menteri Pertahanan Sudan yang baharu sehari dilantik menjadi ketua kerajaan peralihan ekoran penyingkiran bekas presiden Omar al-Bashir dilapor meletak jawatan.

Pengumuman peletakan jawatan Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf dibuat menerusi siaran televisyen di mana beliau turut menamakan Leftenan Jeneral Abdel Fattah Abdelrahman Burhan sebagai penggantinya.

Ribuan penunjuk perasaan di Sudan yang melanggar arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pasukan tentera menyambut baik keputusan Ibn Auf untuk meletak jawatan.

Sementara itu, Persatuan Profesional Sudan yang mengetuai protes di negara itu berkata, peletakan jawatan Ibn Auf merupakan kejayaan buat rakyat.

Terdahulu, Inb Auf mengumumkan penyingkiran Bashir dan kerajaannya sambil menambah majlis ketenteraan akan dibentuk untuk mentadbir negara dalam tempoh peralihan selama dua tahun.

Jurucakap tentera berkata, pasukan tentera tidak berhasrat memegang pemerintahan dan masa depan Sudan terletak di tangan rakyat.

Namun, pihak tentera akan tetap menjaga keamanan negara bagi mengelak berlakunya konfrontasi berlarutan sejak bermulanya tunjuk perasaan menuntut pengunduran Bashir pada 19 Disember lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: