Ahmad Zahid digesa letak jawatan demi tebus maruah

Bastein Onn
Bastein Onn
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn turut tampil mendesak Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan demi menebus maruah dirinya susulan kekalahan besar BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat berkata, gesaan itu juga bagi membolehkan kepimpinan parti yang ada untuk membuat keputusan demi masa depan parti.

Dakwa beliau, UMNO juga tidak mahu parti diheret bersama bagi mencapai impian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan melepaskan diri ahli Parlimen Bagan Datuk itu daripada kes mahkamah.

"PRU15 mencatat keputusan yang memalukan buat parti. Tindak-tanduk Presiden dilihat terlalu memaksa dalam menentukan masa depan negara.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditekan untuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan tergesa-gesa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pimpinan dalam UMNO lantang mendesak Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN untuk segera meletakkan kedua-dua jawatannya itu.

Antara pemimpin itu adalah bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Pengerusi BN Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin.

Bastein mendakwa, rakyat turut sedar angkara siapa PRU15 dibuat dan mengapa ia dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat melihat ahli-ahli UMNO tidak berdaya untuk mendisplinkan kepimpinannya.

"Rakyat telah tiada pilihan, sebaliknya menggunakan jalan pilihan raya untuk memperbetulkan UMNO. Kita ditolak mentah-mentah oleh kaum Melayu yang kita dabik mewakili mereka," ujar beliau.

Oleh itu, tambahnya, UMNO mesti diselamatkan daripada terus dipergunakan.