PRU15: Pemuda UMNO Seremban desak Ahmad Zahid letak jawatan

Status Zool Amali dalam Facebooknya mengenai PRU15.
Status Zool Amali dalam Facebooknya mengenai PRU15.
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda UMNO Bahagian Seremban mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan segera susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, ramalan banyak pihak yang parti itu akan kecundang disebabkan oleh Ahmad Zahid ternyata benar.

"Saya menegaskan Zahid adalah punca utama BN kalah dan ditolak kali ini. Beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya seperti mana kita desak Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kekalahan BN pada PRU14.

"Saya tahu apabila bercakap begini ada yang tidak bersetuju, tapi saya perlu bercakap benar walaupun pahit kerana jika tidak buat perubahan sekarang kita akan terus kecundang pada Pilihan Raya Negeri tahun hadapan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengakui jentera Pemuda UMNO Seremban sejak dari awal sudah menjangkakan yang Presiden UMNO akan menjadi faktor kekalahan kali ini.

Bagaimanapun, katanya, sebagai ahli parti di peringkat akar umbi mereka tiada pilihan melainkan terus bekerja demi memastikan kemenangan kepada parti.

"Tapi kali ini kita tak mahu lagi berlembut kerana tak mahu masyarakat terus menolak UMNO dan BN. Lagi pun desakan untuk Zahid letak jawatan ini kita telah buat dari dulu lagi.

"Kita yang beria nak bubar Parlimen sudahnya kita yang kalah. Kempen pihak lawan satu undi BN satu undi Zahid menjadi Perdana Menteri nampaknya berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut mendesak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk meletakkan jawatan selepas tewas di kerusi Parlimen Gerik.

"Bertanding di Parlimen tumpuan pun dia boleh kalah. Saya tengok banyak calon yang ditampilkan oleh presiden tidak menepati kehendak anak muda.

"Paling merugikan apabila pemimpin muda UMNO yang berkaliber, KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) kalah di Sungai Buloh kerana parti tempatkan dia di kerusi tidak selamat," katanya.