PRU15: Pahang bukan lagi kubu kuat BN

Pahang bukan lagi kubu kuat BN selepas PN dan PH berjaya menawan sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN pada PRU15.
Pahang bukan lagi kubu kuat BN selepas PN dan PH berjaya menawan sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN pada PRU15.
A
A
A

KUANTAN - Pahang bukan lagi kubu kuat BN selepas Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Tujuh kerusi yang dimenangi PN di Parlimen Kuantan, Parlimen Kuala Krau, Parlimen Maran, Parlimen Jerantut, Parlimen Rompin, Parlimen Indera Mahkota dan Parlimen Temerloh manakala PH menang dua kerusi di Parlimen Bentong dan Raub.

Kekalahan BN termasuk kubu kuat parti itu di Parlimen Temerloh yang menyaksi calon PN, Salamiah Mohd Nor berjaya menewaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dengan selepas memperolehi 30,929 undi dengan majoriti 5,520 undi.

BN juga gagal mengekalkan kerusi di Parlimen Rompin apabila PN, Datuk Abdul Khalib Abdullah menang majoriti 1,438 undi mengalahkan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Hasan Ariffin yang meraih sebanyak 30,151 undi.

Malah, penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Mutalib yang digugurkan oleh BN sebagai calon kerusi itu berjaya mengekalkan kemenangan selepas memperolehi sebanyak 19,600 undi dengan majoriti 1,821 undi mengalahkan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dari BN.

Bagaimanapun, BN masih mampu memenangi kerusi Parlimen Pekan apabila Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berjaya memperolehi 47,418 undi dengan majoriti 8,949 undi sekali gus mempertahankan kerusi yang disandangnya Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya lalu.

PH turut mengulangi kejayaan apabila berjaya mempertahankan kubu kuat mereka di Parlimen Bentong selepas Young Syefura Otham menewaskan tiga lawannya dengan majoriti 692 undi.

Kerusi Parlimen Raub juga berjaya dikekalkan oleh PH apabila Chow Yun Hui memperolehi sebanyak 21,613 undi mengalahkan tiga calon yang bertanding dengan majoriti 4,357 undi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, PN turut membuat kejutan apabila 17 kerusi DUN berjaya di tawan dengan menembusi kubu kuat parti BN dan lapan kerusi dari PH.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN) yang mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak kerana bertanding dua kawasan berbeza menang dengan memperoleh majoriti 1,223 undi mengalahkan calon BN, Ho Fong Mee (4,411undi) bagi kerusi DUN Cheka.

Calon BN, Datuk Umor Arbain Dollah yang bertanding di DUN Sungai Lembing dan Datuk Abd Rahim Muda (Lepar) terpaksa akur menerima kenyataan gagal pertahanan kerusi terbabit.

Dua colan PN, Mohd Yazid Mohd Yunus (Lepar) menang dengan majoriti 419 undi mengalahkan Abd Rahim manakala Ayub Asri pula memperolehi 6,962 undi mengalahkan Umor Arbain yang meraih 5,908 undi sahaja.

Kerusi DUN Pulau Manis juga gagal dipertahankan BN apabila menyandang kerusi itu, Datuk Khairuddin Mahmud hanya memperoleh 9,133 undi manakala calon PN, Rafiq Khan mendapat sebanyak 13,064 undi, sekali gus menang dengan majoriti 3,931 undi.

Sementara penyandang kerusi DUN Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menang dengan majoriti 6,983 undi mengalahkan dua calon dari PN, Dr Abdul Rashid yang peroleh 3,108 undi manakala calon PH, Ismail Mohd Hussin (1,465 undi) hilang wang pertaruhan.

Nasib yang sama turut menimpa BN di DUN Kuala Sentul apabila calon PN, Jasri Jamaludin mendahului calon lain selepas memperolehi 6,016 undi sekali gus mengalahkan calon BN, Khairuddin Ali, 5,775 undi.