PRU15: Tsunami orang muda cetus kemenangan PN di Terengganu

Husain
Husain
A
A
A

MARANG - Tsunami politik golongan muda mencetuskan gelombang perubahan di Terengganu sehingga membolehkan kesemua calon Perikatan Nasional (PN) memenangi lapan kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, golongan itu membawa mesej mahukan perubahan pentadbiran ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dan bersih.

"Kemenangan besar PN di Terengganu disebabkan tsunami orang muda yang terkesan dengan salah guna kuasa diamalkan kepimpinan UMNO dan BN di samping mahukan beberapa perubahan yang perlu diambil tindakan oleh parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya.

"Itu kehendak anak-anak muda. Mereka membawa mesej mahukan kerajaan yang bersih dan stabil malah itu juga merupakan apa yang dikehendaki oleh rakyat sekarang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melihat keputusan penuh PRU15 di sini, malam Sabtu.

Dalam pada itu, Husain memberitahu, kemenangan di peringkat Parlimen menjadi pengukur supaya Pas terus bekerja keras untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

Bagaimanapun, katanya, apa yang dicapai tidak dijadikan ukuran sepenuhnya untuk mencapai kemenangan mudah dalam PRN nanti.

"Yakin menang itu tidak, tetapi ia (kemenangan) memberi satu motivasi untuk meyakinkan kita. Setakat ini. ia satu motivasi ke arah kita bekerja lebih kuat dan lebih berhati-hati dan waspada terhadap keyakinan yang ditunjukkan oleh anak-anak muda.

"Anak muda mahukan perubahan pada iklim politik negara yang semakin hari semakin berkembang, semakin berubah dalam suasana politik sekarang," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, PN berjaya menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu termasuk dua kerusi yang menjadi kubu kuat BN iaitu di Besut dan Hulu Terengganu.

PN yang bertanding menggunakan logo bulan kekal menguasai Parlimen Marang, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.