PRU15: Pengundi muda bantu PN menang besar di Kelantan

Sokongan padu yang dizahirkan pengundi muda memacu kemenangan besar PN di Kelantan.
Sokongan padu yang dizahirkan pengundi muda memacu kemenangan besar PN di Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sokongan padu yang dizahirkan oleh pengundi muda memacu kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) yang bertanding menggunakan logo Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, gelombang sokongan itu menyaksikan PN meraih majoriti berganda berbanding PRU lalu seperti di Tumpat, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah.

"Sehubungan dengan itu setiap mesej yang disampaikan anak-anak muda mesti didengari dan isu-isu berkaitan golongan itu perlu diambil berat," katanya ketika sidang akhbar keputusan PRU15 di Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini pada Ahad.

Menurut beliau, selain itu gelombang pengundi muda turut membantu kemenangan PN di Gua Musang apabila berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah.

Tambahnya, situasi itu memperlihatkan pengundi kini tidak lagi melihat kepada sosok tubuh pemimpin sebaliknya lebih melihat kepada dasar yang dibawa oleh parti itu sendiri.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, manifesto dikemukakan PN terutamanya di Kelantan telah berjaya menepati citarasa rakyat termasuk anak-anak muda.

Pada PRU15 PN melakar kejutan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

Artikel Berkaitan: