PDRM humban Kelantan ke dasar liga

ChangHoon (kanan) meraikan gol kemenangan yang dijaringkannya ketika membantu PDRM menewaskan Kelantan 1-0 dalam saingan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
ChangHoon (kanan) meraikan gol kemenangan yang dijaringkannya ketika membantu PDRM menewaskan Kelantan 1-0 dalam saingan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan bermasalah, Kelantan terus ditimpa malang apabila tewas 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan ketiga skuad The Red Warriors selepas mengharungi lapan perlawanan sekali gus terhumban ke tangga tercorot liga.

Lebih manis bagi PDRM ia kemenangan pertama dicatatkan pasukan itu pada musim ini selepas gagal dalam perlawanan sebelum ini.

Anak buah Peter Jorg Steinebrunner tampil agresif apabila melancarkan serangan seawal minit kedua namun sepakan bebas Flavio Beck Junior gagal disambar Mohd Azwan Aripin di dalam kotak penalti PDRM.

Dua minit berselang, tuan rumah sekali lagi memperoleh sepakan percuma namun tendangan Nik Azli Nik Alias pula terkena palang sekali gus melegakan penjaga gol pelawat, Mohd Shahril Sa'ari.

PDRM yang dilihat masih tercari-cari rentak pada awal permainan akhirnya mencipta peluang pertama pada minit ke-14 namun hantaran lintang kapten, Shahurain Abu Samah gagal ditampan kemas Patrick Ronaldinho Wleh di depan gawang tuan rumah.

Aksi kedua-dua pasukan selepas itu tampak membosankan apabila setiap gerakan serangan mudah dipatahkan benteng pertahanan masing-masing.

Hanya ketika permainan memasuki minit ke-40 baharulah tuan rumah nyaris memecahkan kebuntuan tetapi sepakan percuma Beck Junior sedikit melewati palang disusuli percubaan Nik Azli yang terus ke dakapan Mohd Shahril untuk kedudukan tanpa jaringan kekal sepanjang 45 minit pertama.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak seterusnya, Kelantan bermula garang apabila melancarkan serangan tetapi percubaan kencang Nik Azli tersasar di sebelah kiri gawang, pada minit ke-48.

Menuju minit ke-52, giliran The Cops mencipta dua peluang berbahaya tetapi tandukan Argzim Redzovic gagal menepati sasaran disusuli rembatan Shahurain melambung tinggi, tiga minit kemudian.

Pelawat terus mencemaskan tuan rumah pada minit ke-59 apabila Andre Francisco da Silva melepaskan kencang memaksa penjaga gol, Abdul Arif Abdullah melayangkan badan menepis keluar bola menyelamatkan situasi berbahaya itu.

PDRM sekali hampir menterjemahkan jaringan pada minit ke-65 setelah Ronaldinho Wleh bijak melakukan 'dummy' namun rembatan jarak dekat Muhammad Fakrul Aiman Sidid gagal menghasilkan gol buat pasukannya.

Di sebalik asakan menggila itu, tuan rumah bagaimanapun mencuri peluang apabila Beck Junior melepaskan rembatan daripada luar kotak penalti namun ditepis keluar Mohd Shahril, empat minit selepas itu.

Penantian PDRM untuk memecahkan kebuntuan akhirnya terlerai ketika aksi berbaki 10 minit terakhir apabila pemain import mereka, Lee ChangHoon melepaskan percubaan kencang sekali gus menghasilkan gol kemenangan, pada minit ke-83.