PRU15: Calon PH risau pengundi ambil masa lama buang undi

Prabakaran ketika ditemui media setelah membuang undi di pusat mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa.
Prabakaran ketika ditemui media setelah membuang undi di pusat mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran khuatir akan ada individu yang tidak sempat mengundi sebelum jam 5 petang ini sekiranya pengundi lain mengambil masa terlalu lama ketika berada di ruangan memangkah kertas undi.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang mengundi supaya pantas dalam membuat pengundian tersebut kerana Parlimen itu mempunyai ramai pengundi.

"Kalau seorang ambil masa lebih kurang dua minit, saya risau ada pengundi lain yang tidak sempat sebab mengundi.

"Jadi kepada pengundi, bila masuk mengundi dalam bilik pengundian itu, terus undi dan segera keluar," katanya ketika ditemui media selepas membuat pengundian di pusat mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa pada Sabtu.

Prabakaran bertanding di Parlimen itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai mempertahankan kerusi tersebut yang telah dimenanginya semasa PRU14.

Parlimen Batu merekodkan pertembungan calon 10 penjuru, yang tertinggi bagi PRU15.

Parlimen Batu yang mempunyai 113,863 pengundi berdaftar itu, melibatkan Prabakaran sendiri, A Kohilan Pillay mewakili BN, Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Mohd Zulkifli Abdul Fattah, Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Turut menyertai persaingan di kerusi Batu itu ialah empat calon Bebas iaitu Chua Tian Chang @ Tian Chua, Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo dan Too Cheng Huat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Prabakaran turut menyatakan akan melawat setiap pusat mengundi sekitar Parlimen itu.

"Pagi tadi saya dapat laporan banyak pusat mengundi telah sesak dengan kehadiran pengundi, jadi saya nak pergi tinjau untuk pastikan ia berjalan lancar," ujarnya.

Beliau juga turut mengingatkan kepada semua orang yang layak mengundi untuk keluar bagi melaksanakan tanggungjawab itu meskipun cuaca kurang baik.

"Penting untuk keluar mengundi supaya dapat memilih pemimpin," tambah Prabakaran.