PRU15: Ahmad Said sebak diiringi ibu mertua ketika buang undi

Ahmad membantu menyorong kerusi roda ibu mertuanya, Selamah, yang kurang sihat ke pusat membuang undi.
Ahmad membantu menyorong kerusi roda ibu mertuanya, Selamah, yang kurang sihat ke pusat membuang undi.
A
A
A

KEMAMAN - Bekas menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kelihatan sebak ketika bersalam dengan ibu mertuanya, Selamah Ngah, 71 sebelum memasuki pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong, Kijal.

Beliau sempat membantu menyorong kerusi roda ibu mertuanya yang tidak dapat berjalan dengan baik kerana mengalami sakit lutut tetapi turut bersemangat menunaikan tanggungjawab.

Ahmad Said yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiba kira-kira jam 7.55 pagi, diiringi isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud serta lebih 20 ahli keluarganya.

Ahmad Said berkata, beliau berpuas hati dengan tempoh berkempen dan proses membuang undi pada hari ini.

"Selepas 14 hari tempoh berkempen dan hari ini merupakan hari kemuncaknya kita membuang undi, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dari kempen hingga hari ini.

"Saya harap semua pengundi akan keluar awal kerana dijangkakan pada petang akan berlaku hujan," katanya yang turut meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama pengundi di sekolah itu.

PRU15 menyaksikan buat julung kalinya Ahmad Said bertanding merebut kerusi Parlimen dicabar tiga calon lain iaitu penyandang kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dari Perikatan Nasional (PN), Hasuni Sudin dari Pakatan Harapan (PH) dan Rosli Ab Ghani mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Artikel Berkaitan: