PRU15: Aliran lancar, tol percuma legakan pengguna LPT2

Aliran trafik Plaza Tol Gemuruh, LPT2 di Kuala Terengganu terkawal walaupun kenderaan makin bertambah pada jam 3.30 petang Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Sani, Muhd Nor)
Aliran trafik Plaza Tol Gemuruh, LPT2 di Kuala Terengganu terkawal walaupun kenderaan makin bertambah pada jam 3.30 petang Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Sani, Muhd Nor)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Aliran trafik Plaza Tol Gemuruh, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini, terkawal walaupun dilihat mula berlaku pertambahan kenderaan kira-kira jam 3.30 petang selepas sedikit reda jam 1.00 tengah hari pada Jumaat.

Hasil tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati kebanyakan kenderaan yang keluar melalui tol berkenaan menuju ke Terengganu dan juga Kelantan.

Rata-rata pengguna LPT2 berasa lega kerana keadaan trafik tidak sesak dan mereka bersyukur kerana tidak dikenakan bayaran di tol berkenaan.

Seorang juruteknik, Mohd Sani Mat Jusoh, 41, berkata, dia bertolak dari Klang, Selangor, pada jam 10 pagi dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan perjalanannya lancar setakat ini sebelum berhenti berehat seketika di pekarangan Plaza Tol Gemuruh.

“Saya pulang dengan motosikal, alhamdulillah dalam perjalanan tidak hujan. Tetapi walaupun cuaca tak elok saya sanggup redah demi menjalankan tanggungjawab untuk mengundi di Felda Selasih, Besut, esok (Sabtu).

“Saya berharap undi saya ini akan membawa perubahan kepada negara terutama dari segi ekonomi dan juga politik,” katanya.

Manakala seorang kakitangan kerajaan, Muhd Nor Ismail, 36, dari Bahau, Negeri Sembilan yang dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas, Kelantan berkata, dia sekeluarga sanggup menempuh perjalanan yang jauh untuk pulang mengundi dengan harapan berlaku perubahan kepada kerajaan hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Perjalanan hari ini (Jumaat) tidak sesak mana, alhamdulillah lancar, tol pun percuma. Dengan tol percuma ini sangat membantu meringankan beban sebab belanja nak balik kampung banyak juga,” katanya yang kali kedua mengundi.