'Jika Aiman sudah tiada, harap jasadnya ditemui'- Bapa

Sharulzaman melaungkan azan ketika operasi mencari anaknya. (Gambar kecil: Mohamad Aiman Asyraf)
Sharulzaman melaungkan azan ketika operasi mencari anaknya. (Gambar kecil: Mohamad Aiman Asyraf)
A
A
A

KEMAMAN - Genap seminggu operasi mencari dan menyelamat mangsa, Mohamad Aiman Asyraf, 11, yang hanyut dan hilang dibawa arus deras di Sungai Kuala Kemaman berhampiran Pantai Marina dijalankan, namun tiada sebarang perkembangan positif.

Bagaimanapun, seluruh ahli keluarga berharap ada keajaiban berlaku dan tidak berputus asa berusaha mengesan murid Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai itu.

Bapa mangsa, Sahrulzaman Saparuddin, 51, berkata, sekiranya anaknya sudah tiada biarlah jasadnya ditemui dan kematiannya mempunyai tanda.

"Memang saya harap anak kami akan pulang dengan selamat tetapi kami sudah reda sekiranya dia sudah tiada.

"Kami sangat berharap jasadnya ditemui dengan segera walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa tetapi biarlah kehilangannya mempunyai tanda," katanya.

Walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan, namun sebagai ibu bapa, Shahrulzaman setia menunggu dengan sabar.

"Setiap hari memang kami akan ke lokasi dan saya akan turun bersama-sama pasukan penyelamat untuk membantu.

Artikel Berkaitan:

Ibu mangsa, Haslina Yusoff setia menunggu dengan harapan jasad anaknya segera ditemui.
Ibu mangsa, Haslina Yusoff setia menunggu dengan harapan jasad anaknya segera ditemui.

"Kami juga sebelum ini bermalam dan berkhemah di tepi pantai bagi menunggu kepulangannya. Pelbagai ikhtiar dilakukan dan tidak lupa solat hajat supaya anak kami segera ditemui.

"Pagi ini (Jumaat) saya bersama-sama nelayan teruskan operasi mencari dan pasukan bomba juga masih membantu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang pada Jumaat lepas, mangsa anak ketujuh daripada lapan beradik dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakannya berusia 12 dan 9 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa sudah dihentikan secara rasmi sejak semalam (Khamis) tetapi usaha mengesan kanak-kanak tersebut masih dilaksanakan dalam skala lebih kecil.