Bayi hanya pakai lampin ditinggalkan di depan rumah

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Penduduk di kawasan perumahan Taman Saujana Impian dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki dipercayai baru berusia dua minggu ditinggalkan di luar rumah di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bayi malang berkenaan ditinggalkan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat dengan hanya memakai lampin.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan pada jam 11.39 malam berhubung penemuan seorang bayi lelaki.

"Tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Zaid berkata, pengadu telah menguruskan bayi berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang.

Katanya, bayi itu telah dibawa ke Hospital Kajang di sini bagi menerima rawatan awal dan disahkan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bayi terbabit dipercayai berusia lebih kurang dua minggu berdasarkan berat dan keadaan tali pusat.

"Pihak hospital masih lagi menahan bayi berkenaan di wad kanak-kanak bagi tujuan pemantauan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi berkenaan, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubungan terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan," ujar beliau.