PRU15: IPT sedia alternatif hantar pelajar pulang mengundi

Mohd Roslan (dua dari kanan) bertemu pelajar UPM sebelum melepaskan pergerakan pulang mereka dengan bas untuk balik mengundi di kampung masing-masing.
Mohd Roslan (dua dari kanan) bertemu pelajar UPM sebelum melepaskan pergerakan pulang mereka dengan bas untuk balik mengundi di kampung masing-masing.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil inisiatif menyediakan pengangkutan bagi memudahkan pelajar pulang ke kampung masing-masing untuk menunaikan kewajipan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antaranya, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan 42 bas bagi menghantar seramai 1,355 pelajar pulang ke kawasan mengundi bermula Khamis hingga Jumaat.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, pergerakan pelajar pulang dibuat mengikut empat zon melibatkan Zon Pantai Timur, Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, pembahagian negeri mengikut zon itu ialah Zon Utara terdiri dari negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, manakala Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) dan Zon Tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta KLIA).

“Kita menyediakan bas secara percuma kepada pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung. Jadi, gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas ekspres untuk membawa 1,600 penuntutnya pulang mengundi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UTM), Profesor Dr Shamsul Sahibuddin berkata, 43 bas termasuk tiga bas milik universiti tersebut disediakan untuk membawa pulang semua penuntut berkenaan.

"Kesemua penuntut hanya perlu membayar kos antara RM20 hingga RM50 mengikut lokasi kampung halaman masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, sebanyak 50 bas disediakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertujuan memudahkan 2,040 pelajar universiti di kampus Gombak pulang mengundi bermula Rabu.

Inisiatif di bawah program ‘Ops Mahasiswa UIAM Pulang Mengundi’ itu digerakkan Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar, Kesatuan Pelajar dan Kelab Sahabat Anak Malaysia.

UIAM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, bagi pelajar yang pulang ke Sabah dan Sarawak, sebuah van dan tiga bas disediakan bagi menghantar pelajar ke KLIA.

Di Universiti Utara Malaysia (UUM) pula, seramai 249 pelajar dihantar pulang ke kampung halaman menaiki lapan bas percuma yang diselaras Kelab Patriot Chapter Perak UUM untuk memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama.

Pada PRU15 kali ini, dijangka 33,000 pelajar UUM keluar mengundi buat kali pertama selepas Undi18 diwartakan dan dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu.

Sementara itu, berdasarkan soal selidik yang dijalankan, sebanyak 71.1 peratus pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan hasrat untuk balik mengundi pada Sabtu.

Daripada 1,330 responden yang mengikuti soal selidik itu, 687 daripada 957 atau 71.7 peratus responden wanita menjawab ‘ya’.

Seramai 259 responden daripada 373 orang menjawab ‘ya’ mewakili 69.4 peratus untuk pelajar lelaki.

Lima faktor yang menyebabkan mereka tertarik untuk pulang mengundi termasuklah kerana ia merupakan satu tanggungjawab dan hak mereka sebagai pengundi.

Seterusnya, mereka juga dapat memilih calon yang sesuai, bertanggungjawab dan berwibawa untuk memajukan kawasan, selain ingin merasai suasana pilihan raya terutama bagi pengundi kali pertama.