PRU15: 'Mahu Kapar setanding Shah Alam, Klang' - Abdullah Sani

Abdullah Sani ketika membincangkan tajuk Kapar Bukan Anak Tiri yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar.
Abdullah Sani ketika membincangkan tajuk Kapar Bukan Anak Tiri yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar.
A
A
A

KAPAR - Calon Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mahu memajukan Kapar setanding dengan Shah Alam dan Klang sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Calon Pakatan Harapan (PH) berkata, ini berikutan Kapar sedikit ‘tempang’ berbanding Shah Alam dan Klang yang dilihat lebih maju.

“Salah satu iltizam saya adalah berhasrat untuk menambah baik dalam membentuk gabungan 'segi tiga' antara Klang, Shah Alam dan Kapar dimajukan dalam keadaan segi tiga itu sebab saya tengok Kapar ini sedikit tempang.

"Saya tak mahu Kapar dikategorikan tempang. Insya-ALLAH, saya nak majukan Kapar dalam standard yang sama dengan Shah Alam dan Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk Kapar Bukan Anak Tiri di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar pada Khamis.

Program itu yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar itu disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Live bersama PH Parlimen Kapar, Abdullah Sani (kanan) yang membincangkan tajuk Kapar Bukan Anak Tiri yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar.
Sinar Live bersama PH Parlimen Kapar, Abdullah Sani (kanan) yang membincangkan tajuk Kapar Bukan Anak Tiri yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar.

Selain itu, beliau berkata, penambahan sekolah menjadi satu agenda utamanya susulan melihat kepada kepadatan sekolah dengan jumlah anak murid dan keadaan yang sempit.

Artikel Berkaitan:

“Ini memberi kekuatan kepada saya untuk memastikan pembinaan sekolah di Kapar,” ujarnya.

Menurut Abdullah Sani, beliau bercita-cita untuk mewujudkan sebuah kompleks perpustakaan di Kapar bagi memberi kemudahan kepada pelajar.

“Kompleks ini merupakan satu keperluan kerana banyak pelajar di Kapar pergi ke Shah Alam atau Klang untuk menambah pengetahuan dan ilmu,” ujarnya.

Beliau juga berhasrat untuk mencadangkan satu laluan khas untuk lori bagi mengelakkan kenderaan itu melalui jalan utama.

“Saya cadangkan supaya laluan dari Port Klang pergi ke lebuh raya melalui satu laluan lori. Lori tidak menggunakan jalan utama sekali gus menyebabkan jalan utama itu mudah rosak,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau turut berhasrat mewujudkan stadium mini untuk bola sepak memandangkan Kapar tiada lagi stadium sedemikian.