'Bersatu hanya meterai CSA, UMNO yang bersama PH-DAP' – Tun Faisal

SHAH ALAM - Bersatu hanya menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bagi memastikan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan, sebaliknya UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP sejak empat tahun lalu.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, UMNO sepatutnya memikul tanggungjawab bersama terhadap segala dasar kerajaan kerana parti itu turut terlibat dalam proses merangka dasar, menggubal undang-undang, meluluskan dan melaksanakannya.
Menurutnya, masih terdapat pemimpin dan ahli UMNO yang seolah-olah tidak menyedari bahawa parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.
"UMNO sepatutnya bertanggungjawab bersama terhadap setiap dasar kerajaan, sama ada baik atau buruk sepanjang empat tahun ini.
"Masalahnya, UMNO 'pass the blame' kepada Perdana Menteri dan PH, walaupun mereka sepatutnya memikul tanggungjawab bersama sebagai anggota kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebagai perbandingan, Tun Faisal berkata, Bersatu tidak berada dalam kerajaan sepanjang tempoh hampir empat tahun berkenaan dan sehingga kini kekal sebagai parti pembangkang.
Beliau berkata, CSA merupakan perjanjian antara parti politik bagi memastikan kerajaan dapat meneruskan pentadbiran serta meluluskan urusan penting, khususnya belanjawan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), tanpa perlu Bersatu menjadi sebahagian daripada kerajaan.
"Prinsip asasnya adalah ahli-ahli parlimen Bersatu bersetuju memberikan sokongan kepada kerajaan agar urusan pentadbiran dan kewangan negara dapat diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara.
"Pada masa sama, Bersatu kekal sebagai parti pembangkang yang berprinsip dan menjalankan fungsi semak dan imbang," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani CSA dengan kerajaan Madani pada Khamis.
Muhyiddin berkata, menerusi perjanjian itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen terbabit pada kadar setara dengan wakil rakyat kerajaan, dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun bermula tarikh perjanjian ditandatangani.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, melalui CSA, Bersatu dapat membantu memastikan pentadbiran negara berfungsi secara optimum ketika berdepan cabaran serta ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.
Selain itu, kerjasama melalui saluran yang dipersetujui membolehkan Bersatu memperjuangkan kepentingan rakyat dengan lebih berkesan agar suara, keperluan dan kebajikan mereka mendapat perhatian dalam proses membuat keputusan kerajaan.
"Bersatu juga boleh menyumbangkan idea dan cadangan bagi menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, melindungi peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi rakyat.
"CSA turut memberi ruang kepada Bersatu meneruskan agenda reformasi institusi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya serta memperkukuh integriti, kebebasan institusi, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran negara," jelas beliau.
Dalam pada itu, katanya, Bersatu mahu memastikan agenda Bumiputera diperkukuh dan dilaksanakan secara menyeluruh serta berkesan seperti yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.
Tambah Tun Faisal, perbezaan ideologi dan pendirian politik antara Bersatu dengan kerajaan tetap wujud, namun perkara itu tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam perkara yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
"Dalam berpolitik, tenaga dan sumber sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian, bukan dihabiskan dalam pertikaian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
"Politik bukan sekadar perebutan kuasa untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada usaha memelihara kepentingan rakyat, menyelesaikan masalah mereka dan menjamin masa depan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
