Republikan rampas kawalan Dewan Perwakilan AS

Kebangkitan 'gelombang merah' telah memberikan GOP kawalan ke atas Dewan Perwakilan AS untuk penggal akan datang. - Foto: Agensi
Kebangkitan 'gelombang merah' telah memberikan GOP kawalan ke atas Dewan Perwakilan AS untuk penggal akan datang. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Parti Republikan (GOP) merampas kawalan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) daripada Demokrat selepas meraih majoriti tipis dengan memenangi 218 kerusi daripada 435 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang berlangsung pada 8 November lalu.

Kawalan di Dewan Perwakilan bertukar tangan pada Rabu selepas Mike Garcia menewaskan pesaingnya yang mewakili Demokrat, Christy Smith di District 27, California dengan meraih 54.2 peratus undi.

Ia dijangka memberi cabaran baharu kepada Biden untuk penggal perkhidmatannya yang berbaki dua tahun lagi.

Keputusan itu diperoleh beberapa hari selepas Demokrat berjaya mengekalkan kawalan mereka di Senat untuk penggal seterusnya menerusi kemenangan Catherine Cortez Masto pada persaingan sengit di Nevada pada Sabtu yang akhirnya memberikan Demokrat 50 kerusi bagi meraih majoriti di Senat.

Presiden Joe Biden turut mengucapkan tahniah kepada Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan, Kevin McCarthy atas kemenangan Republikan dan menyatakan beliau sedia untuk bekerjasama dengan GOP.

"Keputusan pengundian pada 8 November lalu adalah bukti penolakan yang kuat terhadap penafian pilihan raya, keganasan politik dan sebarang bentuk ugutan serta menunjukkan kekuatan dan daya tahan demokrasi Amerika," ujar Biden.

Sementara itu, McCarthy menerusi Twitter berkata, rakyat Amerika bersedia untuk hala tuju baharu dan GOP yang kini mengawal Dewan Perwakilan siap siaga untuk merealisasikan impian mereka.

McCarthy turut memenangi undian untuk memegang kepimpinan GOP melalui undi secara rahsia yang meletakkannya pada kedudukan utama sebagai Speaker baharu Dewan Perwakilan.

Artikel Berkaitan:

Khabar gembira buat GOP itu diumumkan sehari selepas bekas Presiden, Donald Trump mengumumkan akan bertanding untuk kembali merebut jawatan di Rumah Putih pada 2024.

Sebelum ini, GOP diramalkan bakal merampas kawalan di kedua-dua dewan susulan populariti Biden yang merosot menjadi penyebab utama sokongan beralih kepada Republikan.

GOP juga terlalu yakin dengan kebangkitan 'gelombang merah' untuk memberikan mereka kawalan ke atas Dewan Perwakilan dan Senat bagi 'menghalang' kebanyakan rancangan perundangan Biden.

"Dalam Kongres akan datang, anggota Demokrat di Dewan Perwakilan akan terus memainkan peranan utama mereka untuk menyokong agenda Biden," kata Speaker, Nancy Pelosi yang akan mengemukakan rancangan 'masa depan' untuk parti berkenaan. - AFP