PRU15: Pas berkempen secara matang

Nik Muhammad Zawawi
Nik Muhammad Zawawi
A
A
A

PASIR PUTEH - Pas sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan menolak bentuk kempen secara kotor dan melampau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, secara umumnya perbuatan yang tidak bermoral seperti kegiatan sengaja membakar poster parti sangat tidak berhemah.

Menurutnya, perbuatan membakar poster parti pihak lawan secara sengaja ataupun tidak adalah tindakan berkempen secara tidak sihat.

“Sabotaj seperti ini seringkali berlaku dalam tempoh PRU. Ada yang sengaja membakar poster bagi menagih simpati dan menimbulkan isu.

“Walau bagaimanapun, Pas tidak pernah mendidik ahlinya untuk melakukan perbuatan yang sebegitu dan kita sangat mementingkan profesional dalam berkempen,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian bantuan Program Transformasi Sosio Ekonomi Keluarga Malaysia Bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Puteh.

Hadir sama, Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor dan Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai kejadian membakar poster wajah calon BN Parlimen Kuala Kedah, Datuk Mashitah Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah beliau, Pas menafikan sekeras-kerasnya sekiranya ada pihak yang menuduh parti itu melakukan perbuatan sebegitu demi meraih undi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pada program tersebut seramai 219 penerima dari jajahan Pasir Puteh akan menerima bantuan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM330,000 yang melibatkan bantuan untuk pelbagai jenis pertanian dan penternakan.

Inisiatif perlaksanaan program ini bertujuan meningkatkan kemakmuran petani dan meningkatkan pengeluaran produk pertanian seperti pengeluaran daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil ternakan akuakultur.