PRU15: Poster PM dirosakkan

Keadaan poster BN memaparkan gambar Perdana Menteri yang rosak dipercayai berlaku di Kampung Gelung Ayer, Alor Setar.
Keadaan poster BN memaparkan gambar Perdana Menteri yang rosak dipercayai berlaku di Kampung Gelung Ayer, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang hanya tinggal empat hari dicemari dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan poster BN yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun yang juga wakil kepada calon BN, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mendakwa, perbuatan khianat itu dilakukan dengan cara cuba membakar poster tersebut dipercayai dilakukan awal pagi hari.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan perbuatan terbabit dipercayai berlaku di Kampung Gelung Ayer berdekatan Gunung Keriang dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah.

"Sekumpulan anggota polis termasuk anggota forensik dilihat datang untuk menyiasat petang ini selepas menerima aduan.

"Sehubungan itu, saya berharap supaya tiada lagi perbuatan seumpama itu selepas ini," katanya pada Selasa.

Sementara itu, Dr Mashitah yang mesra dipanggil Mak Teh berkata, semua penyokong parti perlu berkempen secara berhemah pada PRU15.

Beliau menasihatkan penyokong untuk mengelak daripada membuat provokasi yang boleh mendatangkan pergaduhan pada kempen pilihan raya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, memberitahu empat individu ditahan berikutan pelbagai kesalahan melibatkan kempen sepanjang kempen PRU15 bermula 5 November lepas.

Wan Hassan memberitahu, polis Kedah turut menerima 263 laporan dengan 24 kertas siasatan yang dibuka melibatkan kesalahan seperti melakukan perbuatan khianat.

Artikel Berkaitan:

Ia termasuklah membakar bendera parti, merosakkan poster calon, melakukan fitnah dan ugutan, tiada permit ceramah serta memecah premis parti.