'Mohon jasa baik semua, hentikan sumbangan ke akaun saya' - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sekali lagi memohon orang ramai menghentikan sumbangan wang ke akaun bank peribadinya bagi membolehkannya menyelesaikan urusan pengagihan sumbangan.
Beliau berkata, ia berikutan sehingga kini masih ada individu yang menyalurkan sumbangan berkenaan kepadanya.
"Sehingga hari ini, saya sangat bersyukur kerana masih ada insan berhati mulia yang menyalurkan sumbangan ke akaun saya, walaupun sebelum ini saya telah memaklumkan bahawa saya mohon untuk tidak menyalurkan apa-apa ke akaun saya.
"Dengan rendah hati, saya memohon jasa baik semua agar tidak lagi membuat sebarang transaksi sumbangan ke akaun saya.
"Ini bagi membolehkan saya menyelesaikan urusan pengagihan semua sumbangan yang telah diterima kepada mereka yang memerlukan dengan sebaik-baiknya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu beliau memohon orang ramai agar menghentikan sumbangan berkenaan bagi mengelakkan beliau rasa bersalah atas kemurahan hati masyarakat selain turut memohon maaf kerana terpaksa menarik semula nombor akaun bank yang dikongsi dalam hantaran terdahulu.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Muhamad Akmal menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia yang diusahakan untuk dibida penyokong dan rakan, dalam usaha mengumpul dana bagi membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Dr Muhamad Akmal dilapor berkata, keputusan menjual aset itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya, termasuk simpanan sedia ada yang belum mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan.
Beliau menghargai cadangan orang ramai untuk membuka tabung bagi membantunya mengumpul sumbangan, namun beliau memilih untuk menjual aset miliknya terlebih dahulu.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa bimbang sekiranya terdapat sumbangan yang terlepas pandang dan tidak sempat diagihkan, sehingga berbaki dalam akaunnya.
Menurutnya, setiap sen yang dihulurkan adalah amanah dan beliau tidak mahu ada amanah yang gagal ditunaikan.
"Terima kasih atas segala kepercayaan, keprihatinan dan kemurahan hati anda semua. Semoga ALLAH membalas segala kebaikan anda dengan ganjaran yang berlipat ganda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
