PRU15: Free Ride Siswa bantu pelajar universiti pulang mengundi

Peserta Free Ride Siswa bergambar beramai-ramai sebelum berangkat pulang ke Perak pada Khamis untuk menunaikan kewajipan mengundi Sabtu ini.
Peserta Free Ride Siswa bergambar beramai-ramai sebelum berangkat pulang ke Perak pada Khamis untuk menunaikan kewajipan mengundi Sabtu ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Belia Harmoni Universiti Malaya (UM) melaksanakan inisiatif Free Ride Siswa bagi membantu pelajar universiti pulang mengundi.

Yang Dipertua Persatuan Belia Harmoni UM, Nuha Mohamed Yazid berkata, pelan telah dirangka sejak desas-desus pembubaran Parlimen lagi dengan bekerjasama dengan Rasuah Busters serta melaksanakan kutipan dana bagi penyediaan kemudahan pengangkutan kepada mahasisiwa.

Menurutnya, dana terkumpul sebanyak RM8,000 membolehkan mereka menyediakan kemudahan carpool bagi menghantar pelajar ke terminal stesen.

Muhammad Nasir (lima dari kiri) hadir sempena Pelepasan Free Ride Pulang Mengundi pada Khamis.
Muhammad Nasir (lima dari kiri) hadir sempena Pelepasan Free Ride Pulang Mengundi pada Khamis.

"Kami juga telah berhubung dengan persatuan anak negeri yang memerlukan khidmat bas untuk membawa pulang mahasiswa mengundi di mana kami akan bersama-sama membantu membiaya kos sewaan bas.

"Selain itu, pelajar yang pulang mengundi juga boleh membuat tuntutan tiket bas dan kapal terbang.

Nuha
Nuha

"Usaha yang dilaksanakan ini adalah bagi memastikan mahasiswa dapat pulang mengundi secara percuma tanpa dibebani sebarang kos," katanya pada Pelepasan Free Ride Pulang Mengundi pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Majlis pelepasan membabitkan dua bas membawa 30 pelajar pulang mengundi di Perak telah disempurnakan oleh Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Nuha berkata, pihaknya berusaha meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan mahasiswa yang kebanyakan adalah baru kali pertama mengundi

"Kami mahu suara anak muda didengari dan tidak mahu tersalah kerajaan. Kalau kita tidak keluar mengundi dan calon yang kita harapkan tidak menang maka ia akan menjejaskan kumpulan mahasiswa juga.

"Kami rasa perlunya mahasiswa memilih calon berdasarkan integriti. Mungkin ada yang tidak keluar mengundi disebabkan muak dengan politik negara.

"Politik sepatutnya berperanan untuk memajukan negara dan bukan memundurkan negara," katanya.

Muhammad Nasir beramah mesra dengan pelajar UM yang akan berangkat pulang ke Perak untuk mengundi dengan menaiki bas disediakan.
Muhammad Nasir beramah mesra dengan pelajar UM yang akan berangkat pulang ke Perak untuk mengundi dengan menaiki bas disediakan.

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu diharap membolehkan mahasiswa dapat menunaikan tanggungjawab dengan memilih calon yang mempunyai kriteria baik.

Katanya, PRU15 merupakan peluang terbaik kepada anak muda khususnya mahasiswa untuk menyampaikan mesej jelas kepada parti politik untuk memilih calon yang mempunyai rekod bersih dan bebas daripada rasuah.

"Mereka bebas memilih calon dari parti yang mereka minati tapi pastikan mereka yang dipilih adalah bebas daripada rasuah.

"Negara dibelenggu dengan masalah yang besar hingga menjadi sindiran oleh negara luar.

"Bayangkan jika negara bebas rasuah dan ketirisan tidak berlaku, maka pelajar boleh mendapat pendidikan percuma diberikan kesihatan percuma dan lain-lain," katanya.