PRU15: Kru produksi diminta tangguh penggambaran pada Sabtu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) minta semua kru produksi menangguhkan penggambaran pada Sabtu bagi membolehkan artis dan kru keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius jika ada mana-mana syarikat produksi mahupun stesen TV yang bersikap tidak bertimbang rasa berhubung kebenaran kepada penggiat seni untuk pergi mengundi.

Menurutnya, penggambaran boleh ditangguhkan kerana mengundi merupakan tugas penting demi masa depan negara.

"Sebagai cadangan, FDAM meminta pihak berkenaan untuk membuat penjadualan semula tarikh penggambaran yang sepatutnya dilakukan pada tarikh mengundi.

"Ini merupakan tanggungjawab penting yang wajib dilaksanakan tanpa ada sebarang alasan, kekangan atau isu membabitkan aspek kerja pada Sabtu ini," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, penggiat seni turut memainkan peranan penting sebagai rakyat Malaysia untuk memilih kepimpinan negara.

"Sudah tentu ada penggiat seni yang mungkin mengundi di kampung mereka dan ini memberi peluang untuk pulang mengundi.

"FDAM juga menyokong dan berterima kasih pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memberikan cuti khas sehari sebelum tarikh mengundi untuk penggiat seni balik mengundi.

Artikel Berkaitan:

"Buat semua ahli dan penggiat seni, marilah kita beramai-ramai pergi mengundi pada 19 November ini. Penggiat seni juga penentu masa depan negara, tunaikan kewajipan anda pada negara," ujarnya.