11 lokasi dinaiki air di Selangor, 3 PPS dibuka

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Andalas sedang membuat pemantauan banjir.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Andalas sedang membuat pemantauan banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Hujan lebat di sekitar Klang, Shah Alam, Puchong dan Kajang sejak tengah malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dan satu kejadian tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, antara kawasan yang dinaiki air adalah di Jalan Kampung Landasan Bukit Kuda dan Taman Sentosa, Klang; Kampung Sri Aman dan Putra Height Harmoni 1, Puchong; Taman Chi Liung, Teluk Pulai dan Taman Maznah.

"Air turut dikesan naik di Taman Pasir Mas, Jalan Seroja, Jalan Reko dan Taman Teknologi Kajang, Kajang; Bukit Lanchang, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun, Shah Alam serta Kampung Sungai Pening dan Sungai Lalang, Semenyih," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Norazam berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, menerima beberapa panggilan banjir pada jam 12.26 tengah malam.

Pemantauan banjir oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Puchong di Taman Reko.
Pemantauan banjir oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Puchong di Taman Reko.

"Seramai 130 pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat dengan aset logistik membabitkan 20 bot, empat lori, 10 utiliti dan lapan jentera digerakkan ke semua lokasi banjir dan tanah runtuh," katanya.

Norazam berkata, sehingga jam 3.30 pagi, lebih 31 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air.

"Tiga PPS berkenaan dibuka di Masjid Kampung Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2 dan Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kenaikan air yang paling dalam dikesan di pada paras 0.6 meter di Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Klang, manakala bacaan air terendah dikesan pada paras 0.3 meter di sekitar Taman Sri Muda, Jalan Kebun dan Kampung Bukit Lanchong.

"Kita turut memberi tumpuan kepada golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dan operasi pemindahan mangsa banjir masih dilaksanakan sehingga jam 4 pagi tadi.

"Kita turut mengesan trend air mula menurun di beberapa lokasi selepas hujan lebat mulai reda," katanya.

Norazam berkata, anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat Kajang turut membantu mengeluarkan empat mangsa dalam kejadian tamah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat, Taman Sri Jelok, Kajang.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," ujarnya.