Jangan ambil kesempatan, tular cara betul

Amiruddin memeriksa barangan yang dibawa Mohd Firdaus ketika ditempatkan di bilik asrama Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, hari ini.
Amiruddin memeriksa barangan yang dibawa Mohd Firdaus ketika ditempatkan di bilik asrama Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, hari ini.
A
A
A

IPOH - "Sebarkan maklumat dengan cara yang betul, insyaALLAH niat nak membantu akan dipermudahkan," demikian kata Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud, individu yang bertanggungjawab membawa kisah Mohd Firdaus Abdullah.

Amiruddin, 58, yang lebih dikenali sebagai Tok Anjang berkata, kisah-kisah yang menuntut keprihatinan masyarakat seperti ini banyak berlaku, namun ada sebahagiannya hanya disebarkan untuk kepentingan tertentu.

"Budaya rakyat Malaysia ni memang suka membantu dan sebetulnya banyak kes begini hinggakan ada sebahagiannya hanya mahu mengambil kesempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib Firdaus kini terbela, terima kasih rakyat Malaysia!

"Dalam kes Firdaus ini, ramai yang mahu beri sumbangan kewangan, ambil dia sebagai anak angkat dan macam-macam lagi, tetapi terpaksa saya tahan kerana merasakan belum sampai ke tahap itu," katanya.

Menurutnya, sejak kisah kanak-kanak itu dikongsi di Facebook dan dilaporkan media, berpuluh panggilan diterima menyatakan kesudian membantu.

"Niat saya hanya untuk makluman rakan-rakan (dalam persatuan), terkejut jugalah bila tular dan ramai yang mengenali dia.

"Syukurlah perkongsian ini dapat menjadikan hidup Firdaus lebih baik dari sebelumnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Firdaus, 12, yang tinggal bersendirian sejak dua minggu lalu telah dihantar ke pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat, hari ini.

Amiruddin berkata, kanak-kanak itu hanya memberi kata setuju sebaik dimaklumkan mahu dihantar ke pusat jagaan.

Katanya, meskipun diberi kebenaran sebagai penjaga sementara, beliau merasakan pusat jagaan itu adalah tempat terbaik bagi membolehkan Mohd Firdaus meneruskan pendidikan.

"Dia pun nampak gembira, sempat juga kami belikan baju Melayu, seluar dan jubah untuk dibawa ke sini.

"Saya cuma harap dia dapat jaga diri dengan baik dan paling penting tidak melarikan diri lagi, sebab saya dimaklumkan sebelum ini, dia pernah lari dari pusat jagaan.

"Itu berlaku ketika dia di darjah empat, sekarang mungkin dia sudah boleh berfikir dengan baik memandangkan ibunya juga sudah tiada di rumah," katanya.

Kisah Mohd Firdaus mula tular hasil perkongsian Amiruddin di Facebook pada Selasa lepas dan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, isu kanak-kanak itu dapat diselesaikan dalam tempoh kurang lima hari.