PRU15: Calon baharu BN bukan 'yes man' - KJ

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Calon muka baharu BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah 'yes man' sebaliknya membawa inspirasi rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, beliau yakin dengan pelbagai idea yang ditampilkan akan membawa lebih kejayaan kepada negara.

"Mereka berjuang untuk membawa inspirasi rakyat, mempunyai idea dan boleh bercakap bukannya jenis 'yes man' atau 'yes woman'.

"Hanya perkara yang betul sahaja akan disampaikan kepada kepimpinan tertinggi, apa yang tidak betul kita akan cakap tidak betul," ujarnya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator bagi program 'Kenali Calon New-Gen bersama KJ' secara live di laman Facebook miliknya.

Program tersebut mengumpul beberapa calon new-gen BN untuk berkongsi idea mereka bagi membantu rakyat dan membangunkan kawasan masing-masing selain meluahkan harapan bagi PRU15.

Antara pemimpin calon BN yang menyertai live tersebut adalah Datuk Rozabil Abdul Rahman (Parlimen Arau); Shahril Sufian Hamdan (Parlimen Alor Gajah); Datuk Shahelmey Yahya ( Parlimen Putatan) dan Mohana Muniandy Raman (Parlimen Kuala Langat )

Khairy Jamaluddin memberitahu, beliau akan terus memberi sokongan kepada semua calon BN yang akan bertanding pada PRU 15.

Artikel Berkaitan:

"Bukan KJ sahaja calon muda tetapi ramai lagi," katanya.