BN pilih calon mesti menang, bukan boleh menang

Mohamad ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis berkenaan.
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) akan memilih calon yang mesti membawa kemenangan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kali ini tugas lebih berat lagi kerana perlu memilih calon yang mesti menang, bukannya boleh menang.

"Negeri-negeri akan menyenarai pendek calon-calon mereka. Persepsi sekarang macam-macam terhadap parti, kita perlu letakkan calon yang mesti menang, bukan sebarang calon.

"Maka penyaringan calon-calon di peringkat negeri dan bahagian masing-masing itu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar Ke-26 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan perundingan kerusi di antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN memaklumkan BN dan PH akan bertanding di semua kerusi.

"Berapa BN akan bertanding sama ada di Negeri Sembilan atau Selangor itu belum dimulakan rundingannya, sebab seperti saya katakan, hal calon ini elok dibuat kemudian.

“Kita mantapkan dan sediakan jentera terlebih dahulu, apabila sudah bersedia, biar pemimpin-pemimpin parti yang akan berunding mengenai pembahagian kerusi dan akhir cerita nanti setiap parti mencalonkan calon-calon yang mesti menang.

"Dalam pilihan raya tidak boleh pandang mudah, tak boleh kata Negeri Sembilan dan Selangor kita ada kelebihan, macam perlawanan bola sepak jugalah (contoh) Manchester United boleh kalah dengan Liverpool, dalam pilihan raya pun sama, setiap negeri mesti berada dalam kesiap siagaan yang terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu mengulas mengenai penentuan pembahagian kerusi di Kelantan dan Terengganu dalam PRN ini, Mohamad berkata, ia sememangnya di bawah tanggungjawabnya.

"Itu bukan perkara barhau, memang tugas hakiki saya selaku pengarah pilihanraya termasuklah menyiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya," katanya.