Rafizi tuntut penjelasan satu lagi projek RM285 juta bawah KASA

Rafizi menunjukkan surat kelulusan projek itu dalam satu sidang media.
Rafizi menunjukkan surat kelulusan projek itu dalam satu sidang media.
A
A
A

PETALING JAYA- Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menuntut satu lagi penjelasan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung status kelulusan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembentungan di Klang Selatan.

Menurut beliau, projek yang bernilai sebanyak RM285 juta itu dianugerahkan oleh KASA kepada sebuah syarikat selepas Parlimen dibubarkan.

Ujarnya, syarikat itu juga turut mendapat banyak pemberian projek daripada kementerian berkenaan.

"Setakat ini, projek-projek yang telah diluluskan ini masih tidak dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

"Pengesahan bahawa memang ada projek di bawah KASA yang diberi kelulusan secara rundingan terus selepas Parlimen dibubarkan mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim Tuan Man berbohong minggu lepas ketika saya mula mempersoalkan perkara ini," jelas beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR dekat sini pada Rabu.

Sebelum ini, Rafizi telah menuntut penjelasan daripada Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Tambah beliau, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada syarikat yang sama sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Sementara itu, Rafizi menyatakan bahawa pembongkaran tersebut merupakan hasil kerjasamanya dengan beberapa penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

"Jika BN dan Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan kelulusan yang telah diberikan setakat ini, projek-projek ini akan terus diberikan, sia-sialah pengorbanan penjawat awam yang mengambil risiko mendedahkan perkara ini demi memperbetulkan kepincangan perolehan yang berlaku," jelasnya.