PRU15: Jason yakin rakyat Iskandar Puteri beri mandat kepada BN

Jason (tengah) berkata sesuatu kepada pengunjung ketika berkempen di Pasar Malam Nusa Perintis, baru-baru ini.
Jason (tengah) berkata sesuatu kepada pengunjung ketika berkempen di Pasar Malam Nusa Perintis, baru-baru ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Setelah lebih seminggu berkempen, calon BN Parlimen Iskandar Puteri, Datuk Jason Teoh, yakin rakyat akan kembali memberikan mandat kepada BN untuk mentadbir semula di kawasan Parlimen berkenaan.

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan kepada 'mood' rakyat ketika ini yang dilihat kembali memberikan sokongan kepada BN, terutamanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Mac lalu.

Malah katanya, senario itu turut menunjukkan rakyat kini sudah tahu membezakan antara gabungan parti antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) berbanding PRU14 lalu.

Berbanding PRU14 lalu, saya gembira dengan penerimaan rakyat di Iskandar puteri dengan BN ketika ini. Ia dilihat sangat menggalakkkan terutamanya ketika tempoh berkempen kali ini.

“Saya lihat rakyat kini lebih yakin dengan corak kepimpinan BN berdasarkan apa yang berlaku sejak PRU14, Johor mengalami pertukaran Menteri Besar sebanyak empat kali dan ini bukannya satu keadaan yang sihat.

“Bagi Johor, kita perlukan satu kepimpinan yang stabil dan kukuh. Selepas PRN Johor lalu, rata-rata rakyat merasai kenikmatan daripada kerajaan yang stabil dan kukuh, malah Johor turut mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di negara ini dengan jumlah RM60.9 billion,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Jason, pembukaan semula sempadan sejak 1 April lalu turut membantu memulihkan semula ekonomi di negeri ini.

“Pembukaan sempadan, sama ada melibatkan sempadan Malaysia-Singapura atau dari negara lain telah membuatkan hidup orang Johor semakin pulih seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini tidak dapat dilihat di negeri lain sekali gua membuktikan rakyat di negeri ini telah kembali yakin dengan BN,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan mendakwa BN hanya berpeluang untuk menang di kawasan luar bandar berbanding PH bagi kawasan bandar, Jason berkata, perkara itu boleh dilihat daripada pelbagai aspek.

"Berdasarkan keputusan PRN lalu, sokongan rakyat luar bandar seperti di Felda mula kembali kepada BN, namun bagi rakyat di bandar termasuk di Iskandar Puteri mungkin masih teragak-agak untuk memberikan sokongan kepada BN.

“Secara keseluruhannya, saya melihat perkara ini sebagai satu reaksi normal, mungkin penduduk di kawasan bandar ini lebih kepada penerimaan informasi lebih bebanding yang lain. Mungkin ada pengaruh luaran seperti bagi mereka bekerja di Singapuran atau yang berada di luar bandar.

“Apa pun, ini juga satu proses pemikiran tetapi selepas PRN lalu, saya lihat lebih ramai yang yakin dengan BN dan saya yakin pada PRU15 akan mencatatkan jumlah majoriti yang lebih baik daripada PRN,” katanya.