PRU15: Cabaran calon Bebas dapat tempat di hati pengundi

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A
GEORGETOWN - Calon Bebas berhadapan dengan cabaran untuk mendapat tempat di hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Penganalis politik, Dr Azmi Hassan berkata, walaupun kebanyakan pengundi ‘merajuk’ dengan parti politik tanah air setelah menyaksikan beberapa pertukaran tiga Perdana Menteri selepas PRU14, namun mereka masih mengharapkan kepada kerajaan yang stabil.

"Walaupun terdapat sebilangan calon Bebas yang mempunyai aura tersendiri yang boleh menjadikan mereka sebagai seorang pemimpin di kawasan mereka, pengundi masih lagi mahu melihat kepada parti di belakang calon tersebut,” katanya kepada Bernama.

Azmi berkata, senario tiada satu parti yang dominan dan ramai calon digugurkan dari parti adalah faktor utama yang mendorong ramai calon Bebas yang bertanding dalam PRU15.

Beliau berkata, trend ini dijangka akan berterusan pada PRU akan datang, lebih-lebih lagi sekiranya Akta Anti Lompat Parti tidak menghalang wakil rakyat Bebas sertai parti politik selepas mereka menang di dalam PRU.

"Calon Bebas tanpa parti sukar menjadi faktor penentuan penubuhan kerajaan yang stabil tetapi jika calon Bebas membuat janji akan menyertai parti politik jika menang, maka ini senario berbeza,” kata Azmi.

Sementara itu, pendirian calon Bebas Parlimen Bayan Baru, Kan Chee Yuen pula berbeza, iaitu beliau berpendapat pengundi akan berhadapan dengan risiko sekiranya memilih calon digugurkan dari parti (dan bertanding sebagai calon Bebas) sebagai calon undi mereka.

"Saya melihat adalah tidak mustahil untuk mereka kembali lompat semula ke parti mereka, sekiranya parti mereka kalah (dan mereka menang) kerana terdapat kelemahan pada undang-undang anti lompat parti yang tidak menangani isu ini,” katanya.

Sebaliknya, Chee Yuen memberi saranan agar rakyat memberi peluang kepada calon bebas yang terbukti mempunyai rekod prestasi yang positif.
Artikel Berkaitan:


"Pilih calon yang profesional. Tidak semestinya doktor, jurutera atau peguam tetapi mereka yang cemerlang dalam industri yang mereka lakukan,” katanya.

Hasil tinjauan di Kepala Batas mendapati masyarakat tempatan tidak kisah siapa yang memegang kerusi Parlimen Kepala Batas asalkan kesejahteraan masyarakat tempatan menjadi fokus utama (pemenang) kerusi di kawasan itu.

"Kami mahukan pemimpin yang jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Selain haruslah disatukan dan bukannya memecahbelahkan,” kata pesara Azahari Muhamed.

Bekas ahli farmasi itu berkata, sekiranya terdapat pembangunan di sesebuah kawasan, rakyat tempatan haruslah diberikan keutamaan termasuklah dari segi peluang pekerjaan.

Proses penamaan calon PRU15 menyaksikan jumlah penyertaan calon Bebas paling ramai bertanding kerusi Parlimen dalam sejarah politik negara iaitu seramai 108 orang berbanding 24 calon pada PRU14.

Bagi negeri Pulau Pinang, enam individu bertanding sebagai calon Bebas iaitu dua di kerusi Parlimen Balik Pulau manakala masing-masing satu di kerusi Bayan Baru; Jelutong; Bukit Bendera dan Nibong Tebal. - Bernama