'Kasihan mangsa banjir, kempen PRU15 sukarkan bantuan'

Hamzah
Hamzah
A
A
A

TAIPING - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melahirkan rasa kekesalan apabila usaha agihan bantuan kepada mangsa banjir tidak dapat dilaksanakan berikutan terikat dengan polisi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tempoh kempen yang berterusan menyebabkan fokus wakil rakyat membantu mangsa yang terjejas di kawasan masing-masing terganggu dan tergendala.

"Kalau tangguh dan tiada PRU, kan kita boleh fokus pada mereka yang menjadi mangsa banjir ini.

"Sekarang dah kelam kabut, nak beri bantuan pun susah kerana akta (Suruhanjaya Pilihan Raya) ada sebutkan, ketika berkempen kita tidak boleh bagi bantuan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program upacara pendaftaran perkahwinan dan penyerahan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Wisma Persekutuan Taiping di sini.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ketika ini mangsa banjir merekodkan lebih 3,000 mangsa di seluruh negara.

Keadaan itu katanya, membuktikan kebimbangan berlakunya banjir besar ketika tempoh pilihan raya, benar-benar berlaku.

"Kita sedih sekarang sudah ada 3,000 orang mangsa banjir dan ini membuktikan bahawa apa yang kita minta (tangguh) dulu itu betul.

Artikel Berkaitan:

"Saya kasihan dengan 3,000 mangsa ini yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Mana nak jaga 3,000 mangsa ini, nak kempen lagi," katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Larut itu turut meminta rakyat untuk memilih kerajaan dan pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat.

"Melihat keadaan sekarang, saya harap orang ramai akan menyedarinya.

"Pilihlah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat, bukan percaya pada slogan sahaja," katanya.

Pada Selasa, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengumumkan seramai 3,014 mangsa banjir daripada 932 keluarga telah ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) selepas tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah dilanda banjir.