'Tolonglah selesaikan kemelut banjir kilat'

Dari kiri : Abd Nasir dan Amirul Syahril
Dari kiri : Abd Nasir dan Amirul Syahril
A
A
A

MELAKA - Penduduk di Taman Tamby Chik Karim di Batu Berendam di sini, kesal masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk sejak 10 tahun lalu masih belum dapat diselesaikan.

Penduduk Abd Nasir Said, 55, setiap kali hujan lebat dalam beberapa jam, kawasan rumah mereka akan dinaiki air selain terpaksa menanggung kerugian.

Menurutnya, lebih kesal kerana penduduk sering kali ditabur janji sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat untuk mendalamkan Sungai Malim berhampiran perumahan mereka bagi menampung jumlah kapasiti air terutama ketika hujan lebat.

"Sampai bila kami perlu hadapi banjir berulang kali, adakah nak tunggu banjir besar seperti yang berlaku di Taman Sri Muda baharu tindakan diambil.

"Tolonglah buat secepat mungkin, janganlah bertangguh kemudian bagi janji kepada penduduk kita akan buat," katanya.

Tambahnya, apa yang meresahkan setiap kali banjir berlaku penduduk terlibat terpaksa membersihkan rumah yang dipenuhi selut lebih seminggu.

Penduduk Amirul Syahril Mohd Isa, 41, berkata, sebagai bapa yang mempunyai tiga orang anak orang kurang upaya (OKU) sudah pasti dia risau keselamatan anaknya apabila hujan lebat.

"Pernah satu ketika saya tidak sedar air memasuki rumah dan bila terjaga saya tidur dalam air.

Artikel Berkaitan:

"Sudahlah anak-anak berada dalam rumah ketika itu, nasib baik dapat diselamatkan cuma harta benda habis rosak," katanya.

Ujarnya, sejak dari insiden itu, setiap kali hujan dia tidak boleh melelapkan mata kerana risaukan sepasang anak kembar berusia setahun tiga bulan dan seorang lagi berusia 10 tahun.

Azilah Aminuddin, 38, berkata, dia berharap pihak berkaitan memandang serius masalah banjir yang dihadapi penduduk belum berkesudahan.

"Saya pun dah lali dengan banjir, tak tahu sampai bila kami akan bersabar dan terpaksa membersihkan rumah berkali-kali," katanya.