Pencalonan sebagai PM oleh parti jadi pegangan: Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto: Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menegaskan isu siapa Perdana Menteri daripada BN dan UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sepatutnya timbul, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah jelas bahawa beliau telah diputuskan oleh parti yang diwakilinya sebagai calon perdana menteri.

Berkongsi rentetan yang membawa kepada keputusan itu, Perdana Menteri kesembilan itu berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah membuat keputusan sebulat suara bahawa beliau adalah calon perdana menteri selepas BN memenangi PRU15, dan kemudiannya keputusan itu dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi BN, dan semua parti komponen bersetuju dengan pencalonan berkenaan.

"Autoriti tertinggi dalam parti kita adalah PAU (Perhimpunan Agung UMNO), dan PAU juga sebulat suara memutuskan saya sebagai PM (perdana menteri),” kata Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Menurutnya dalam mesyuarat perwakilan bahagian UMNO baru-baru ini, 156 bahagian daripada 190 bahagian yang boleh bermesyuarat telah membuat usul mencadangkan beliau sebagai calon perdana menteri selepas PRU15.

"Dari segi parti sudah tidak ada isu, sudah tidak ada soal timbul siapa yang lain dan sebagainya. Kerana semua peringkat parti telah buat keputusan,” katanya dalam Bual Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan Bernama TV dan beberapa stesen televisyen tempatan malam Selasa.

Ismail Sabri yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada PRU15 menjelaskan perkara itu setelah timbul pelbagai naratif yang dimainkan termasuk dakwaan sesetengah pihak kononnya satu undi untuk calon BN adalah satu undi untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN sebagai perdana menteri pasca PRU15.

Ismail Sabri berkata, apabila timbul isu mengenai siapa perdana menteri, itu tujuannya adalah untuk melaga-lagakan beliau dengan Ahmad Zahid.

Selain presiden parti-parti komponen bersetuju beliau sebagai calon perdana menteri, Ismail Sabri berkata Ahmad Zahid juga telah menekankan "bahawa tidak ada bertukar ganti lagi, keputusan tetap juga Ismail Sabri sebagai calon PM selepas PRU15.”

"Semua keputusan yang disebutkan, selagi tidak ‘direversekan’, ia akan terus menjadi keputusan yang mesti dipatuhi,” kata Ismail Sabri.
Artikel Berkaitan:


Ketika terdapat calon perdana menteri yang dikemukakan gabungan parti politik, Ismail Sabri berkata beliau perlu dinilai berdasarkan pencapaian pentadbirannya setelah mengambil alih kerajaan di waktu yang sukar ketika itu, kerana kes Covid-19 yang tinggi, ekonomi tidak memberangsangkan dan ketidakstabilan politik.

Selain dapat menyelesaikan isu Covid-19 termasuk menerusi program vaksinasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang dan pengganguran dapat dikurangkan, Ismail Sabri berkata kerajaan ketika pentadbirannya juga berjaya mewujudkan kestabilan politik.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani MOU supaya diwujudkan gencatan senjata di dalam negara yang menjadikan politik stabil ketika itu,” katanya.

Kerajaan di bawah pentadbirannya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang pada 13 September 2021 bagi memastikan kestabilan politik negara, selain pindaan perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diluluskan sebulat suara di Parlimen.

Selain itu, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 28 Julai lepas dan di Dewan Negara pada 9 Ogos.

"Sudah lama kita cakap soal lompat parti, akta ini tidak pernah diluluskan. Waktu saya, diluluskan dengan begitu tenang dan tidak ada bantahan daripada sesiapa pun. Akhirnya politik negara dapat distabilkan,” katanya.

"Walaupun saya 14 bulan (mentadbir negara), tapi tidak ada dibubarkan oleh sesiapa. Jadi saya nak beritahu, kalau setahun lebih saya boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, cubalah bagi saya lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan," katanya.

Calon perdana menteri parti yang bertanding pada PRU15 adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Bernama