Takkan nak tunggu YB jadi mangsa baru nak bertindak?

Keadaan lori simen yang terbalik di Taman Alam Budiman, Shah Alam kelmarin.
Keadaan lori simen yang terbalik di Taman Alam Budiman, Shah Alam kelmarin.
A
A
A

SAYA terbaca posting seorang wanita, Noor Nazrah di Facebook yang menceritakan bagaimana perasaan seorang isteri apabila suaminya terlibat dalam kemalangan.

Mujurlah dalam kejadian itu suaminya yang menaiki motosikal selamat dan hanya mengalami bengkak dan calar-calar.

Melihatkan video kemalangan dan keadaan tempat kejadian, memang ajaib apabila mangsa kemalangan termasuk pemandu lori selamat.

Sebenarnya insiden lori simen yang terbalik di simpang tiga Taman Alam Budiman, Seksyen U10, Shah Alam kelmarin bukanlah pertama kali berlaku di sini.

Seingat saya sudah banyak kali kejadian itu berlaku dan pernah suatu ketika kejadian kenderaan berat terbalik seperti menjadi acara mingguan.

Lori tanah, muatan batu, barang makanan dan kereta pun banyak yang sudah terbabas di laluan itu.

Insiden lori terbabas dan kemalangan kerap berlaku di simpang tiga Taman Alam Budiman, Shah Alam.
Insiden lori terbabas dan kemalangan kerap berlaku di simpang tiga Taman Alam Budiman, Shah Alam.

Pokok, tiang lampu isyarat dan struktur binaan yang berada di kawasan berhampiran juga kerap dihentam kenderaan yang kemalangan hinggakan usaha baik pulih masih terbantut.

Artikel Berkaitan:

Pemandu dan penunggang motosikal yang menunggu lampu hijau di simpang tiga berkenaan juga hanya mampu bertawakkal setiap kali berada di situ.

Saya sendiri setiap kali berada di simpang berkenaan akan berdoa dihindarkan daripada musibah kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dihentam oleh kenderaan yang terbabas.

Ia berlaku apabila kenderaan yang melalui Persiaran Mokhtar Dahari dari arah Shah Alam sambil menuruni bukit membelok kiri masuk ke Taman Alam Budiman mudah terbabas.

Bonggol sedia ada tidak mampu memperlahankan kenderaan terutama lori.
Bonggol sedia ada tidak mampu memperlahankan kenderaan terutama lori.

Setiap kali berlaku kemalangan, antara punca yang sering dikaitkan ialah kenderaan dipandu dengan laju, masalah brek dan kedudukan simpang ketika menuruni bukti yang disifatkan kurang sesuai.

Dan sehingga kini, walaupun persatuan penduduk sudah menyuarakan kebimbangan, tiada satu pun langkah konkrit dan berkesan diambil menyebabkan masalah ini terus berulang hinggalah kepada berlakunya kejadian kelmarin.

Bahkan, laluan itu kini menjadi jalan utama pengguna jalan raya untuk ke Setia Alam, Lebuhraya DASH atau ke Puncak Alam yang menunjukkan bahawa isu ini sudah menjadi masalah kepada ramai pengguna jalan raya.

Antara luahan penduduk yang kerap saya dengar ialah: “Takkanlah nak tunggu wakil rakyat atau orang VIP jadi mangsa baru nak bertindak?”

Kata mereka, janganlah sampai ada nyawa yang terkorban baru tindakan segera diambil. Bertindaklah dengan segera, cegah sebelum parah!

Begitu juga dengan permintaan penduduk supaya dibina bonggol tambahan di beberapa lokasi taman perumahan yang masih dipandang sepi.

Rayuan penduduk kepada pengguna laluan taman perumahan berkenaan.
Rayuan penduduk kepada pengguna laluan taman perumahan berkenaan.

Penduduk amat memerlukan bonggol tambahan itu kerana bonggol sedia ada tidak dapat menghalang kereta, motor dan kenderaan berat daripada memperlahankan kenderaan masing-masing.

Setiap kali hendak keluar dan masuk simpang ke taman perumahan, penduduk pasti menghadapi kesulitan kerana sikap pengguna lain yang tidak bertimbang rasa.

Penduduk juga terpaksa menaikkan kain rentang memohon pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan memberikan laluan tetapi masih tidak diendahkan.

Oleh itu, kepada pihak yang mempunyai kuasa atau yang akan memperoleh kuasa kelak, datanglah ke kawasan ini lihat dengan mata kepala sendiri masalah yang membelenggu penduduk di sini.