'Kalau sayang isteri, takkan kahwin dua' - Shila Amzah

Shila berpendapat, mana-mana lelaki yang benar-benar menyayangi isterinya tidak akan tergamak untuk menduakan apatah lagi menikahi wanita lain.
Shila berpendapat, mana-mana lelaki yang benar-benar menyayangi isterinya tidak akan tergamak untuk menduakan apatah lagi menikahi wanita lain.
A
A
A

SEJAK Ahad, tular video seorang lelaki yang dikenali dengan nama 'Abang Tesla' berkongsi video penghargaan terhadap isteri pertama setelah wanita itu memberi kebenaran buatnya berkahwin kali kedua.

Video itu menerima pelbagai reaksi dan pastinya rata-rata tumpang simpati dengan wanita berkenaan yang disifatkan cukup kuat kerana reda untuk bermadu.

Penyanyi Shila Amzah antara individu yang turut sama meluahkan perasaan mengenai perkara itu menerusi akaun X miliknya.

Penyanyi berusia 33 tahun itu berpendapat, mana-mana lelaki yang benar-benar menyayangi isterinya tidak akan tergamak untuk menduakan apatah lagi menikahi wanita lain.

“Kalau anda betul sayang isteri pertama, tak ada nak kahwin isteri kedua. Walaupun dapat izin daripada isteri pertama itu.

“Eh baran eh tengok TikTok hari ini (Ahad). Fikir logik saja, jangan nak buat hantaran penghargaan panjang berjela untuk tunjuk bagaimana anda menghargai isteri pertama sedangkan anda buat keputusan untuk menduakannya,” coretnya.

Sebelum ini, lelaki yang kerap berkongsi mengenai kereta elektrik miliknya mengumumkan sudah bernikah buat kali kedua menerusi pendedahan dalam satu video.

Dalam perkongsian videonya, lelaki terbabit dilihat mendirikan solat Subuh bersama isteri pertamanya tiga jam sebelum menikahi wanita kedua pilihannya, sekali gus meraih pelbagai reaksi.

Artikel Berkaitan:

Tidak kurang juga yang merasakan Shila atau nama penuh Nurshahila Amir Amzah turut terkesan kerana ibunya sendiri melalui episod sama apabila bapanya, ND Lala memilih untuk berkahwin dua dan kemudiannya berakhir dengan keruntuhan rumah tangga yang sudah 34 tahun dibina.

Namun ada juga yang membidas komen penyanyi Patah Seribu itu kerana merasakan Shila merendah-rendahkan agama dalam soal poligami.

Tidak berdiam diri, isteri kepada pempengaruh media sosial, Ubai itu ada pandangannya sendiri.

“Tak ada orang nak merendah-rendahkan agama. Jangan bercakap bagi pihak saya,” tegas Shila.