'Bekalan tak terjejas, harga tak meningkat'

Selain harga barangan runcit, harga sayur turut meningkat sehingga dua kali ganda sejak awal bulan lalu.
Selain harga barangan runcit, harga sayur turut meningkat sehingga dua kali ganda sejak awal bulan lalu.
A
A
A

MASUK musim tengkujuh, bukan sahaja isu banjir jadi tumpuan, kenaikan harga barangan keperluan juga perlu diberi perhatian semua pihak.

Episod kenaikan harga barangan mendominasi laman sosial hingga menjadi modal dalam kempen-kempen calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tinjauan penulis mendapati, selain harga barangan runcit, harga sayur turut meningkat sehingga dua kali ganda sejak awal bulan lalu.

Salad meningkat daripada RM5 kepada RM8 sekilogram, manakala sawi daripada RM2.50 hingga RM5.20. Cili merah import pula RM15 sekilogram berbanding RM13 dan bendi meningkat RM8 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Apabila ditanya kepada penjual, mereka juga memperoleh bekalan dalam kuantiti sedikit kerana persaingan harga daripada pembeli lain, permintaan tinggi dari negeri Pantai Timur dan pengeluaran tidak memberangsangkan di Cameron Highlands, Pahang.

Cameron Highlands, antara pengeluar sayur utama negara apabila petani dari tanah tinggi itu mengeksport lebih 40 peratus hasil mereka ke Singapura, Brunei dan Hong Kong.

Kekerapan hujan menyebabkan pengeluaran hasil sayur-sayuran terutama berdaun di pasaran berkurang, sekali gus berlaku kenaikan harga bahan mentah itu ketika ini. Pada musim hujan, kualiti sayur akan mudah rosak dan tidak boleh disimpan terlalu lama.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi laporan media 7 September lalu, mengesahkan tidak berlaku kekurangan bekalan sayur di dalam negara berikutan kemerosotan itu hanya pada tahap 10 peratus disebabkan keadaan cuaca hujan dan kemerosotan permintaan sekitar bulan lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia bagaimanapun memaklumkan Monsun Timur Laut dijangka berterusan sehingga Mac 2023 yang dijangka menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran.

Artikel Berkaitan:

Musim tengkujuh turut menyebabkan laut bergelora di perairan Laut China Selatan. Selain sayur, sudah tentu bekalan ikan di pasaran terjejas kerana nelayan tidak dapat turun ke laut.

Keadaan cuaca ketika ini mempengaruhi pendaratan bekalan sumber protein tersebut. Ia diakui oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan dijangka harga terus meningkat dua kali ganda pada kemuncak musim tengkujuh.

Malah, peniaga turut mengakui bekalan terutama ikan kembung sukar didapati meskipun kenaikan harga ikan boleh dikatakan tidak ketara setakat ini. Namun, LKIM telah bersedia dengan alternatif mengeluarkan ikan sejuk beku di pasaran bagi menstabilkan bekalan sehingga Mei depan.

Bagi menampung keperluan itu, LKIM akan meningkatkan import ikan dan menggalakkan rakyat makan ikan darat atau ikan ternakan kolam.

Penurunan bekalan tersebut akan membataskan kuasa beli pengguna terhadap bahan mentah itu. Justeru, apakah jaminan kerajaan bagi memastikan bekalan tidak terjejas, harga pula tidak meningkat?

Membina rumah hijau untuk penanaman sayur dilihat lebih konsisten dengan mengambil kira keadaan cuaca tidak menentu. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memperkenalkan model pertanian pintar sebagai strategi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara.

Model pertanian secara tertutup menggunakan sistem rumah perlindungan hujan, mengguna pakai sistem pengairan dan pembajaan secara internet kebendaan (IoT) dapat meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara.

Kaedah itu wajar diperluaskan penggunaannya agar dapat menangani isu kekurangan bekalan sayur disebabkan peningkatan permintaan, perubahan iklim dan bencana alam, sekali gus membantu menstabilkan harga dalam pasaran.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah, gagasan yang terkandung dalam Rancangan Buku Hijau wajar dikunjungi, disuntik nafas baharu dan dihidupkan semula bagi mengangkat sektor pertanian.

Baginda menyarankan langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil.

Isu kenaikan harga barangan dan bahan mentah juga saling berkait rapat dengan soal bekalan, pengangkutan, sewa, nilai ringgit serta tenaga buruh.

Kenaikan harga barangan perlu pendekatan holistik. Kerajaan, ahli politik dan pakar ekonomi negara harus melihat isu harga barang secara holistik. Harga kawalan hanyalah pendekatan jangka pendek.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Perak